Objek disyaki serpihan roket Long March 5B ditemui di Sibu
SIBU - Penduduk sebuah rumah panjang di Sungai Asan Bayu dekat sini gempar apabila dimaklumkan objek yang ditemukan di atas bumbung sebuah bilik di rumah panjang berkenaan pada Sabtu, kemungkinan serpihan roket milik China, Long March 5B.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Nicholas Belulin berkata, objek berukuran 5.8 sentimeter (sm) lebar dan 7.62 sm panjang itu dipercayai terjatuh dan menembusi bumbung zink Rumah Panjang Renyam, Sungai Asan Bayu, lalu tersangkut pada kayu alang rumah.
Beliau berkata, objek berkenaan ditemukan oleh pemilik rumah berkenaan sejurus dia balik ke kediamannya pada petang Sabtu dan kesan hentaman kuat itu meninggalkan bekas sedalam 2.54 sentimeter serta kebocoran pada bumbung.
"Panggilan penemuan objek tersebut diterima daripada petugas di BBP Sibu kira-kira jam 8.50 malam selepas menerima panggilan daripada Balai Polis Lanang. Pasukan dari BBP Bintangor digerakkan ke lokasi dan tiba pada jam 10.38 malam melibatkan jarak 37 kilometer.
"Objek tersebut kemudiannya dibawa oleh pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu dan Balai Polis Lanang untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Nicholas berkata pemilik rumah terbabit memaklumkan objek tersebut kemungkinan berada di bumbung rumahnya sejak beberapa minggu lepas kerana dia serta keluarga jarang balik ke rumah panjang itu disebabkan urusan kerja dan ia hanya disedari selepas ternampak kebocoran pada atap.Sementara itu, dalam laporan polis di Balai Polis Sungai Merah pada petang Sabtu, pemilik rumah menyatakan jirannya memberitahu terdengar bunyi dentuman kuat dari arah bumbung rumahnya pada 30 Julai lepas.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili ketika dihubungi Bernama berkata, laporan penemuan objek tersebut diterima pada petang Sabtu dan ia akan dihantar ke Jabatan Kimia dan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom di Kuching untuk pengesahan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!