'Mari kita berkawan, henti cakap soal nak lawan'
PADANG TERAP - Pas masih membuka pintu rundingan bekerjasama dengan UMNO bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) demi perpaduan ummah biarpun Barisan Nasional (BN) telah memutuskan akan bergerak solo.
Menurut Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin, perpaduan yang diperjuangkan itu adalah suruhan ALLAH SWT dan Muafakat Nasional (MN) yang dimeterai pada tahun 2020 berjaya merapatkan silaturahim dua parti tersebut untuk berada di dalam satu kabinet kerajaan pada hari ini.
"Perpaduan ummah ini bukan kehendak Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang atau Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tetapi ia adalah perintah dan suruhan ALLAH SWT.
"Janganlah lipat awal-awal masuk bawah meja. Kita ada ruang untuk bincang, ada ruang untuk bicara kerana ALLAH yang suruh. Maka dia (UMNO) nak lipat, lipatlah tetapi kita (Pas) masih terbuka (bekerjasama)," katanya pada sidang akhbar selepas Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pas Kedah di Dataran Markas JPrD Pedu, Pekan Naka pada malam Sabtu.
Hadir sama Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Ahmad Yahaya dan Timbalan Pesuruhjaya Pas Kedah yang juga Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan, bahawa BN sebulat suara telah memutuskan untuk bergerak solo pada PRU15 dan keputusan itu adalah muktamad.
Hashim berkata, parti tersebut masih menaruh harapan untuk bekerjasama pada PRU15 namun bersedia berdepan UMNO dan BN sekiranya pertembungan tidak lagi dapat dielakkan.
“Kita berharap supaya kita berdamai, hang (UMNO) nak berkawan mai (silakan), hang nak lawan hang tunggu (tetapi) kita berhenti dahulu bab nak berlawan itu. Mari kita berkawan dan berhenti bercakap soalnya.
“Cuma kita harap satu sahaja iaitu walaupun pihak kita sedia untuk buka tangan menerima janganlah tikam belakang, jangan rosakkan perpaduan kerana saya cukup sayang dengan apa yang kita pakat bersama selama ini,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!