Warga Singapura sesat ketika daki gunung
KOTA TINGGI - Seorang lelaki warganegara Singapura dilaporkan hilang ketika mendaki Gunung Panti Barat, Batu Ampat pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, Neo Thiam Ming, 40, dipercayai menghubungi talian kecemasan 999 untuk meminta bantuan selepas menyedari dirinya sesat di kawasan gunung berkenaan.
Katanya, laporan mengenai kehilangan mangsa dibuat pasukan bomba dan penyelamat Kota Tinggi pada jam 7.10 petang pada Sabtu.
"Satu pasukan mencari dan menyelamat telah digerakkan ke lokasi diketuai polis, Bomba, Jabatan Perhutanan dan Angkatan Pertahanan Awam.
"Operasi mencari dan menyelamat mangsa dimulakan pada Sabtu dan sehingga jam 2 petang pada Ahad, mangsa masih belum dijumpai dan usaha mengesan masih lagi diteruskan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Hussin berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Pusat kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi di talian 07-8837222 atau balai polis berhampiran.
"Polis Daerah Kota Tinggi menasihatkan orang ramai yang berhasrat untuk melakukan aktiviti pendakian agar melaporkan terlebih dahulu ke balai polis yang berhampiran atau Pejabat Perhutanan Daerah Kota Tinggi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!