Tahap pekerjaan meningkat, isu tiada pekerjaan terus ditangani
SHAH ALAM - Tahap pekerjaan di negara ini meningkat sebanyak 400,000 pekerjaan semenjak kepimpinan kerajaan diambil alih oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, walaupun masih berhadapan dengan isu gaji tidak setimpal namun isu ‘unemployment’ (tiada pekerjaan) terus ditangani agar rakyat dapat bekerja, mempunyai gaji dan berpendapatan.
Menurutnya, secara tidak langsung ia menggerakkan ekonomi dan diterjemah kepada segala angka makro yang tercatat.
“Sebagai contoh pelaburan asing bagi suku akhir 2021, suku pertama dan suku kedua tahun ini adalah sebanyak RM72.9 bilion. Tiga suku tersebut antara tertinggi dalam sejarah Malaysia.
“Perdagangan borong dan runcit meningkat 44 peratus dari tahun ke tahun kepada RM132.8 bilion. Bagi Jun tahun ini merupakan tertinggi sejak 2013. Malah nilai jualan sektor pembuatan berkembang 23 peratus ke RM153 bilion untuk Jun 2022 yang merupakan rekod tertinggi,” katanya dalam catatan di laman Facebook pada Ahad.
Dalam pada itu, Shahril Sufian berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara berkembang sebanyak 8.9 peratus bagi suku kedua tahun ini dan unjuran 6.3 peratus secara keseluruhan bagi tahun 2022.
Beliau berkata, pelaporan mutakhir itu memberi isyarat jelas bahawa dari sudut makro, ekonomi Malaysia berada di landasan baik untuk terus pulih daripada kesan Covid-19 dan mendepani cabaran seterusnya.
“Prestasi ini dipacu antara lain oleh Perdana Menteri sejak awal lagi bahawa tidak akan ada sebarang penutupan ekonomi lagi dan peralihan ke fasa endemik pada 1 April 2022 di mana hampir semua sektor dibuka semula sekali gus memberi keyakinan kepada syarikat, majikan serta pelabur untuk merancakkan aktiviti.
“Kesihatan awam terus terkawal dengan kapasiti hospital dan pengurusan kes berkenaan Covid-19 ditangani dengan baik,” ujarnya.
Selain itu, Shahril Sufian menambah bahawa fokus kepada mengurangkan kadar pengangguran antara faktor besar yang menyumbang kepada impak positif pertumbuhan ekonomi.
“Lebih ramai Keluarga Malaysia telah kembali bekerja.
“Kadar pengangguran turun ke 3.8 peratus pada Jun tahun ini iaitu menghampiri tahap pra-Covid,” ujarnya.
Bagaimanapun Shahril Sufian berkata, selain berita positif, cabaran ekonomi yakni inflasi dan isu tiada pekerjaan masih wujud.
“Kerajaan sedang berusaha menanganinya sebaik mungkin agar angka makro dapat diterjemahkan kepada rakyat majoriti dengan lebih menyeluruh.
“Oleh itu, subsidi yang dibelanjakan pada tahun ini akan mencecah RM77 bilion termasuk subsidi petrol RON95 di mana kerajaan memberi subsidi hampir RM2.50 bagi setiap liter.
“Selain subsidi elektrik dengan perbelanjaan sebanyak RM5.8 bilion dan pelbagai subsidi lain untuk terus mengurangkan tekanan harga,” jelasnya.
Sementara itu, beliau berkata, beberapa perkembangan dunia tetap perlu diperhatikan antaranya perang Ukraine-Rusia; gangguan rantaian bekalan dan dasar monetari negara lain yang agresif menaikkan kadar faedah.
“Semuanya sedang memberi kesan kepada Malaysia dan beberapa langkah akan terus diambil mengikut kesesuaian semasa.
“Disebalik segala ketidaktentuan dunia ini, angka-angka mutakhir menggambarkan Malaysia memiliki daya tahan yang kukuh dalam menghadapi situasi mencabar,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!