Ahmad Zahid yakin PRU15 diadakan tahun ini

Ahmad Zahid (empat dari kanan) menyempurnakan gimik pelancaran jentera Wanuta BN di WTC Kuala Lumpur pada Ahad.
Ahmad Zahid (empat dari kanan) menyempurnakan gimik pelancaran jentera Wanuta BN di WTC Kuala Lumpur pada Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan diadakan tahun ini walaupun ada yang menjangkakan ia akan diadakan tahun hadapan ekoran kontroversi kapal tempur pesisir (LCS) yang dikaitkan dengan parti itu.

Presiden UMNO itu berkata, banyak indikator menunjukkan PRU15 akan diadakan tahun ini dan bukan tahun hadapan.

"Ke arah itu saya rasakan kesiapsagaan semua jentera BN di seluruh peringkat sudah dimulakan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga telah mengingatkan kepada jentera untuk lakukan persiapan menyeluruh.

"Kita merasakan bahawa tahun depan tidak berapa sesuai untuk diadakan PRU15 oleh kerana faktor ekonomi dan kadar inflasi yang akan bertambah. Jadi saya (sendiri secara peribadi) fikir tahun ini adalah paling sesuai untuk kita adakan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan penutup Konvensyen Wanita BN di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, pada Ahad.

Sempena majlis itu, Ahmad Zahid turut melancarkan Jentera Wanita BN bagi menghadapi PRU15.

Hadir sama, Pengerusi Wanita BN, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan Setiausaha Wanita BN merangkap pengarah konvensyen itu, Datuk Rosni Sohar.

Ketika menyampaikan ucapan pada sesi Bicara Hati Perdana Menteri terdahulu, Ismail Sabri berkata, Parlimen akan dibubarkan jika hasil kajian sikap pengundi secara menyeluruh menunjukkan BN boleh menang.

Sementara itu, Ahmad Zahid menjelaskan, BN perlu berusaha untuk kembali menjadi parti dominan walaupun ketika ini merupakan sebuah parti 'underdog' (pilihan) yang diserang dari pelbagai sudut.

"Kita bermain sebagai 'underdog' kerana landasannya berdasarkan pada prestasi PRU14, jadi kita mesti tingkatkan usaha supaya hasil yang akan diperoleh lebih daripada PRU lalu," tegasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!