Lebih banyak jeti, stor diperiksa, elak jadi lokasi penyeludupan

Datuk Muhammad Zaki Harun.
Datuk Muhammad Zaki Harun.
A
A
A

KOTA BHARU - Polis Kelantan akan melakukan lebih banyak pemeriksaan ke atas jeti dan stor di negeri ini bagi mengelakkan lokasi itu menjadi 'port' penyeludupan dan pemerdagangan haram.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhammad Zaki Harun berkata, polis Kelantan turut mendapat kerjasama dari Bukit Aman berhubung perancangan yang lebih teliti bagi membanteras jenayah itu.

"Kita ada teknologi dan strategi baharu dalam usaha mengesan kenderaan yang membawa barang salah," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan pada Ahad.

Bagaimanapun katanya, perbincangan perlu dilakukan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana banyak jeti dan stor berada dalam kawasan persendirian.

Menurutnya, sepanjang tiga hari Ops Tapi Bersepadu yang bermula Khamis, sebanyak 40 jeti di pangkalan haram diserbu di beberapa daerah termasuk Tumpat, Tanah Merah dan Jeli serta menahan 10 individu membabitkan kesalahan dadah.

Selain kesalahan dadah, katanya, polis turut menahan 30 warga Myanmar termasuk 12 wanita serta seorang lelaki warga tempatan di bawah Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1963.

"Kita turut menahan dua warga Thailand masing-masing seorang lelaki dan wanita serta seorang wanita tempatan di bawah Seksyen 20 Akta Akta Kawalan Padi Beras 1994," katanya.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Zaki memaklumkan, polis akan memperketatkan pemantauan di dalam dan luar stadium bagi mengelakkan pergaduhan berlaku ketika perlawanan bola sepak.

Kata beliau, anggota juga akan ditambah supaya sentiasa berada keadaan berjaga-jaga.

"Kita akan aturkan semua penugasan di stadium kerana sambutan peminat terhadap bola sepak kini semakin baik," katanya.

Jumaat lalu, media melaporkan provokasi melampau sekumpulan penyokong Perak didakwa punca penyokong Kelantan marah sehingga berlaku kekecohan ketika aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Muhammad IV.

Muhammad Zaki bagaimanapun memberitahu, tiada tangkapan dibuat dalam kejadian itu tetapi polis akan lebih mengatur gerak anggotanya supaya tidak berlaku insiden sama selepas ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!