Penantian lapan tahun berakhir

Skuad hoki dalam dewan lelaki negara akhirnya tamatkan kemarau penantian selama lapan tahun untuk beraksi di pentas final Kejohanan Hoki Dalam Dewan Piala Asia 2022 selepas catat seri 1-1 dengan Kazakhstan di Bangkok hari ini. - Foto FB Malaysia Hockey Confederation
Skuad hoki dalam dewan lelaki negara akhirnya tamatkan kemarau penantian selama lapan tahun untuk beraksi di pentas final Kejohanan Hoki Dalam Dewan Piala Asia 2022 selepas catat seri 1-1 dengan Kazakhstan di Bangkok hari ini. - Foto FB Malaysia Hockey Confederation
A
A
A

SKUAD hoki dalam dewan lelaki negara akhirnya menamatkan kemarau penantian selama lapan tahun untuk beraksi di pentas final Kejohanan Hoki Dalam Dewan Piala Asia 2022 selepas mencatatkan keputusan seri 1-1 dengan Kazakhstan di Bangkok hari ini.

Malaysia, yang berkongsi 11 mata keseluruhan bersama Indonesia dan Kazakhstan, melangkah ke final dengan kelebihan jaringan untuk menghuni tangga kedua dan akan bertemu dengan pasukan teratas liga, Iran, pada pentas final esok.

Dalam perlawanan terakhir liga sepusingan di Stadium Tertutup Huamark, Bangkok, skuad negara turun dengan misi tidak boleh kalah menghasilkan jaringan menerusi Muhammad Aslam Mohamed Hanafiah pada minit ke-22, namun Kazakhstan menyamakan kedudukan menerusi jaringan Daulet Urmanov pada minit ke-30.

Ketua jurulatih negara skuad hoki dalam dewan, Muhammad Amin Rahim yakin akan kebolehan anak buahnya untuk mempamerkan aksi garang dan penuh bertenaga dalam usaha merebut piala di pentas final itu.

Beliau berkata skuad negara akan memberi tumpuan sepenuhnya agar mampu memperkemaskan corak permainan menjadi lebih jitu ketika bertemu Iran, pasukan ranking ketiga dunia.

"Alhamdulillah selepas lapan tahun tidak beraksi di final Piala Asia, kami berjaya melepasi halangan ini di mana pujian diberikan pada semua pemain yg bertungkus lumus untuk merealisasikan impian dan harapan pasukan dan juga peminat hoki Malaysia.

"Setiap perancangan yang kami atur sebelum perlawanan, dilunaskan dengan baik oleh semua pemain. Kami akan terus fokus untuk perlawanan esok bertemu Iran dan cuba mencipta sejarah baharu hoki dalam dewan di Malaysia dengan membawa pulang trofi kejuaraaan,” katanya menerusi kenyataan dikeluarkan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC). malam ini.

Dalam pada itu, Muhammad Amin berkata, pihaknya akan mengkaji kesilapan yang dilakukan anak buahnya selepas ditundukkan Iran 0-3 dalam aksi keempat, Jumaat lalu.

Pada edisi 2014 di Changhua, Taiwan, Malaysia tewas 1-5 kepada Iran pada pertemuan di pentas final. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!