Habuan RM20,000 pecah rekod kebangsaan di SUKIPT 2022
HABUAN RM20,000 bakal diterima para atlet temasya Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2022 sekiranya berjaya memecahkan rekod kebangsaan di temasya tersebut.
Ganjaran itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sambil berharap SUKIPT dapat membentuk lebih ramai atlet institusi pengajian tinggi berprestasi tinggi dan berminda juara.
“Saya ingin mencabar para atlet yang bertanding dalam SUKIPT 2022 untuk mencatatkan rekod kebangsaan, tidak kiralah dalam apa jenis acara pun.
“Mereka yang berjaya kita akan bagi secara bersama wang tunai berjumlah RM20,000,” katanya ketika merasmikan SUKIPT 2022 di Stadium Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak pada Ahad.
Sementara itu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) optimis temasya SUKIPT mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan sukan, bukan sahaja di IPT, tetapi juga negara.
“Justeru, bagi pihak KPT, saya sangat berharap agar kecemerlangan yang dipamerkan para atlet IPT akan diteruskan momentumnya di pelbagai podium sukan lain.
“Insya-ALLAH, KPT komited menggilap dan mengasah muka-muka baharu untuk mewakili negara ke pentas yang lebih tinggi seperti Sukan SEA, Sukan Asia, Sukan Komanwel dan juga Sukan Olimpik," ujarnya.
Untuk rekod, lebih 6,000 atlet daripada 70 kontinjen IPT membabitkan IPT awam, swasta, politeknik dan kolej komuniti menyahut cabaran pada edisi UPSI 2022 kali ini.
Edisi kali ini mempertandingkan 21 acara yang menawarkan 210 pingat emas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!