Haramkan samseng bola sepak masuk stadium
BENARKAH dakwaan sesetengah pihak, stadium bola sepak sekarang sudah tak selamat. Semuanya gara-gara insiden ‘panas’ yang tercetus dalam aksi Liga Premier menemukan Kelantan FC dan Perak FC di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada Rabu lalu.
Timbul persoalan, adakah isu samseng bola sepak dalam kalangan penyokong semakin menular dalam saingan liga bola sepak domestik atau budaya hooligan di pentas Liga Malaysia (Liga-M) ini masih boleh dianggap satu kes terpencil?
Mengambil kira beberapa kes tahun ini termasuk terbaharu insiden ala kung-fu melibatkan penyokong ketika aksi Liga Super antara Melaka United dan Sri Pahang FC di Stadium Hang Jebat pada Sabtu lalu, sesuatu yang drastik perlu ditangani segera.
Sudah sampai masanya hukuman lebih keras dikenakan terhadap penyokong terlibat. Tidak kiralah mana-mana pihak yang didapati bersalah mencetuskan provokasi atau pergaduhan sewajarnya mendapat hukuman setimpal.
Dalam menangani isu budaya hooligan ini, dua badan bertanggungjawab iaitu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) harus mempunyai garis panduan yang mampu mengenakan hukuman ke atas si pelaku.
Secara asasnya, insiden kekecohan penyokong adalah tanggungjawab pasukan tuan rumah biarpun ia mungkin berpunca daripada pihak luar.
Peraturan itu sememangnya jelas dalam manual mana-mana pertandingan sukan termasuk bola sepak. Tetapi FAM dan MFL harus mencari solusi lebih keras bagi mengekang samseng bola sepak.
Ini bukan soal lagi menjatuhkan hukuman ke atas pasukan tuan rumah kerana jika dinilai dari sudut lebih luas, kadangkala ia berlaku di luar kawalan mereka.
Kepada FAM dan MFL, tak usah lagi berlembut dengan penyokong yang suka membuat onar di dalam atau luar stadium. Antara bentuk hukuman yang boleh digunakan ialah dengan menyenarai hitamkan dan melarang penyokong terbabit daripada hadir ke stadium.
Jika ada penyokong yang ditangkap dan didapati benar-benar bersalah menjadi punca tercetusnya sebarang insiden kekacauan atau pergaduhan, haramkan sahaja si pelaku itu terus daripada masuk ke stadium sampai bila-bila.
Jangan sampai suatu hari nanti, Liga-M diangkat sebagai liga penuh dengan budaya hooligan. Harus diingat, baik buruk Liga-M, ia cerminan budaya bola sepak Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!