Hias rumah sempena Hari Kemerdekaan ke-65
ALOR SETAR - Sepasang suami isteri di Kampung Batu 8, Jalan Alor Setar-Sungai Petani di sini sudah memulakan kerja-kerja menghias kawasan rumah dengan bendera sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-65 pada 31 Ogos ini.
Norhayawati Din, 48, berkata, aktiviti itu telah menjadi rutin mereka berdua setiap kali tibanya bulan Ogos sejak dua tahun lalu.
Katanya, semua kos bagi kerja-kerja menghias adalah daripada wang belanja mereka yang dikumpul sedikit demi sedikit.
"Kami juga banyak menggunakan barang-barang terpakai untuk dijadikan hiasan di hadapan rumah.
"Bendera pun banyak guna semula yang tahun lepas, namun saya sudah menambah bendera kecil yang baharu dengan kos sebanyak RM200," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini pada Ahad.
Norhayawati yang juga suri rumah berkata, setakat ini hampir 50 peratus hiasan bendera telah siap dipasang.
"Selepas ini kami akan bina beberapa replika, pintu gerbang dan membaik pulih titi yang telah usang di hadapan rumah.
"Jadi kalau ada sesiapa yang mempunyai kayu terpakai atau buluh yang hendak disumbangkan, kami sangat mengalu-alukan kerana setakat ini kami belum jumpa kayu yang sesuai," katanya.
Norhayawati menambah, suaminya Wan azhar Wan Teh, 50, yang bekerja sebagai pemandu lori ais juga banyak membantunya ketika waktu lapang.
"Kerja-kerja yang lebih berat saya serahkan kepada suami, kerana saya juga perlu beri perhatian kepada anak bongsu yang menghidap kanser darah," katanya.
Menurutnya, walaupun kerja-kerja menghias itu tidak membawa sebarang keuntungan namun ia memberikan kepuasan kepada mereka.
"Kami buat semua ini kerana minat dan juga untuk menyemarakkan semangat patriotik, rasa seronok bila tengok orang ramai berhenti ambil gambar di hadapan rumah setiap tahun.
"Insya-ALLAH semua hiasan ini akan siap sepenuhnya seminggu sebelum sambutan Hari Kemerdekaan nanti," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!