Ini peluang mat rempit berlumba secara halal
CADANGAN kerajaan untuk membina sebuah litar khusus bagi perlumbaan drag di setiap negeri mendapat pelbagai reaksi khususnya peminat sukan permotoran.
Ada yang sambut baik, ada yang agak skeptikal dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu. Merak Jalanan pula lebih gemar ambil pendekatan tunggu dan lihat perancangan terbaharu itu.
Mengikut kata Perdana Menteri, cadangan itu akan dimasukkan dalam Belanjawan 2023 yang akan dibentang Oktober ini.
Bagi yang menyokong, mereka menganggap pembinaan litar seperti yang dicadangkan itu membolehkan anak-anak muda mengasah bakat dalam sukan permotoran, sekali gus berupaya melahirkan pelumba profesional pada masa hadapan.
Malah, mereka menyifatkan cadangan pembinaan litar perlumbaan drag itu boleh menarik golongan mat rempit supaya tidak lagi terlibat dengan lumba haram, sebaliknya menunjukkan bakat mereka di litar yang lebih selamat.
Tetapi bagi yang masih ragu-ragu dan tidak bersetuju, mereka menyifatkan ia sebagai satu pembaziran. Kata mereka, sekarang bukan masa yang sesuai untuk membina litar perlumbaan drag.
Merak Jalanan bagaimanapun percaya kerajaan sudah mengkaji sedalam-dalamnya sebelum membuat cadangan itu. Mungkin itu yang dirasakan terbaik dalam menarik minat orang-orang muda terlibat dengan sukan permotoran secara halal.
Gejala lumba haram ini sudah berlarutan lama di Malaysia. Ia bukan lagi semata-mata permasalahan sosial orang muda, sebaliknya ia umpama satu konflik yang tiada titik noktahnya.
Apa pun, Merak Jalanan cuba melihat cadangan kerajaan ini dari sudut positif.
Tak perlu berbelanja besar, cukuplah sekadar menyediakan litar bagi anak-anak muda untuk menunjukkan bakar mereka dalam aktiviti ‘lumba halal’.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!