Hidup 'bersama' kod QR di China

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

BEIJING - Bukan mudah untuk sampai di Beijing, sebuah metropolis yang jumlah penduduknya hampir sebesar populasi Malaysia.

Pelbagai prosedur ketat seiring dasar sifar Covid-19 yang dilaksanakan oleh China perlu dipatuhi pelawat, termasuk penulis yang akan berada di sini hingga pertengahan November depan bagi mengikuti program China Asia Pacific Press Center 2022.

Bukan itu sahaja, diketahui sebagai antara negara paling ketat dalam pengurusan Covid-19, China memanfaatkan teknologi hampir sepenuhnya, khususnya teknologi komunikasi, dalam mencegah dan mengawal penularan virus itu yang pertama kali dikesan di Wuhan, ibu kota Wilayah Hubei pada penghujung 2019, sebelum menular ke seluruh dunia.

Penggunaan meluas teknologi komunikasi ini disedari penulis apabila tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Nanchang Changbei di Wilayah Jianxi, kira-kira 1,400 kilometer dari sini, pada 17 Julai lalu. Sejurus tiba, penulis diminta memuat turun dan mengisi borang dalam talian tentang maklumat diri yang kemudian menjana kod respons pantas atau kod QR sebagai pengenalan diri.

Realiti betapa pentingnya kod QR itu dalam kehidupan harian penulis di negara ini hanya dirasai sepenuhnya apabila penulis bersama-sama dua lagi rakan wartawan dari Malaysia usai menjalani kuarantin selama 10 hari termasuk tiga hari kuarantin kendiri di Nanchang.

Kios ujian Covid-19

Sebaik menjejakkan kaki di bandar raya ini pada 28 Julai lepas, antara perkara pertama yang dimaklumkan kepada penulis ialah menjalani ujian RT-PCR setiap dua atau tiga hari bagi mengesahkan diri benar-benar "bersih” daripada virus itu pada setiap masa.

Terdetik di hati betapa renyahnya untuk melakukan ujian itu, namun ternyata telahan penulis meleset. Bagi memudahkan masyarakat menjalani ujian tersebut, China menempatkan kios sehenti - pondok kecil - di serata kawasan di kota moden ini, termasuk di kawasan perumahan dan juga lokasi tumpuan awam.

Tujuan utama China berbuat demikian ialah bagi melazimkan ujian Covid-19 dalam rutin harian rakyatnya, dan pemerhatian penulis mendapati sememangnya inisiatif republik itu mendapat sokongan orang ramai yang dilihat beratur menunggu giliran di kios berkenaan yang dibuka pada sebelah pagi dan petang.

Menurut laporan media tempatan, stesen ujian Covid-19 tersebut yang boleh ditemukan hampir di mana-mana sahaja di seluruh republik ini, berupaya memproses hingga 51.65 juta sampel sehari. Di Beijing sahaja terdapat 5,000 kios berkenaan yang lokasinya mudah ditemukan melalui peta dalam talian yang disediakan oleh Baidu, enjin carian Internet di China.

Tidak ada kerenah birokrasi ketika mahu melakukan ujian itu yang ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan China. Sekadar tunjukkan kod QR kepada petugas pertama bagi pengesahan identiti sebelum petugas seterusnya menjalankan ujian Covid-19 ke atas penulis menerusi calitan tekak.

Prosesnya juga amat pantas iaitu hanya kira-kira seminit tanpa sebarang sentuhan fizikal, dan keputusan pula terus dikemas kini dalam sistem Health Kit Beijing, aplikasi seakan MySejahtera Malaysia.

Semua warga asing yang berada di kota raya ini perlu berdaftar dengan Beijing Health Kit yang antara lain merekodkan status vaksinasi serta rekod perjalanan pelawat dan kod QR identiti diri mereka.

Pentingnya melakukan ujian RT-PCR setiap dua atau tiga hari berikutan hanya mereka yang disahkan negatif Covid-19 sepanjang tempoh 72 atau 48 jam dibenarkan berada di tempat awam termasuk pusat beli-belah, taman rekreasi, pengangkutan awam serta pejabat.

Kod berbeza di setiap wilayah

Umumnya, sistem kod kesihatan China yang diperkenalkan pada 2020 itu mengawal pergerakan orang ramai berdasarkan status Covid-19 mereka dan risiko kesihatan yang mungkin wujud berdasarkan warna, iaitu merah, kuning dan hijau.

Hanya mereka yang mempunyai kod berwarna hijau boleh bergerak bebas manakala kod kuning dan merah memerlukan pengasingan - konsep yang hampir sama dengan MySejahtera.

Bagaimanapun setiap wilayah di China mempunyai sistem yang berbeza dan ketidakseragaman ini agak menyulitkan pelawat kerana setiap kali tiba di wilayah lain mereka perlu mendaftarkan diri dengan program mini berasingan dalam aplikasi WeChat bagi mendapatkan kod QR hijau.

Pengalaman ini turut dilalui penulis semasa lawatan ke Shandong di pantai timur China, di mana kami dibawa melawat kawasan pelancongan dan perindustrian di beberapa bandar utama di wilayah tersebut.

Proses mendaftarkan diri dengan program mini ini hanya melibatkan beberapa klik butang pada aplikasi, namun jangka masa kelulusan bergantung pada pihak berkuasa tempatan di wilayah berkenaan. Ada yang mengambil masa dua jam, namun penulis difahamkan di sesetengah wilayah lain boleh memakan masa 24 jam sebelum pelawat memperoleh kod QR hijaunya.

Sepertimana di Beijing, pengalaman enam hari di Shandong juga "melelahkan” jari jemari penulis kerana terpaksa mengimbas kod QR setiap kali mahu menaiki pengangkutan awam atau ke kawasan tumpuan orang ramai.

Ini belum diambil kira berpuluh-puluh dokumen dalam talian yang perlu dimuat turun dan diisi.

Hal ini juga menyebabkan ada pengunjung yang "tersangkut” di hab pengangkutan seperti lapangan terbang kerana perlu menunggu bagi mendapatkan kod kesihatan tempatan.

Mungkin leceh, namun penulis berpandangan langkah ketat yang dilaksanakan oleh China ini berkesan dalam mengekang penularan jangkitan tempatan. Ini kerana situasi semasa penularan Covid-19 di republik ini dilihat agak terkawal dengan kes harian dilaporkan stabil pada tiga angka dan tanpa kematian, sementara majoriti kes pula dilaporkan di Wilayah Hainan, setakat 11 Ogos lepas.

(Penulis berada di Beijing sebagai peserta program China Asia Pacific Press Centre 2022 (CAPCC) atas jemputan China Public Diplomacy Association. Program bermula 20 Jun lepas dan dijadualkan tamat pada pertengahan November depan.

Dianjurkan oleh China International Press Communication Center (CIPCC), program ini melibatkan lebih 70 pengamal media antarabangsa dari pelbagai negara, dan sepanjang tempoh program, peserta akan didedahkan kepada aktiviti-aktiviti termasuk syarahan mengenai pembangunan sosioekonomi, diplomasi, kebudayaan, sains dan teknologi, latihan kewartawanan dan latihan amali dengan media China serta lawatan ke wilayah-wilayah terpilih. Peserta juga berpeluang membuat liputan acara utama domestik dan diplomatik di China). - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!