Pakatan UMNO-Pas: Kebangkitan konservatisme
KONSERVATISME yang sering difahami umum sering kali disalahertikan, mengaitkannya dengan tradisi lapuk, ketinggalan zaman dan tidak relevan dengan arus kontemporari.
Dalam konteks Malaysia, konservatisme bukan sahaja bergerak sebagai landas ideologi parti politik bahkan, ia juga turut berperanan dalam mengikat nilai-nilai agama dan ketimuran masyarakat kita.
Memetik kata-kata bapa konservatisme England, Edmund Burke (1729-1797), kehidupan masyarakat perlulah diikat dengan peraturan dan nilai sebagaimana layang-layang agar ia tidak terputus dan kehilangan arah.
Politik nasional konsolidasi (BN/UMNO) pada hari ini telah diambil alih oleh proksi nasional progresif (PH) yang membentangkan satu fasa perubahan struktur fizikal dan abstrak politik di Malaysia.
UMNO selepas 61 tahun akhirnya bertukar posisi daripada barisan kerajaan kepada barisan oposisi yang pada awalnya kelihatan janggal.
Namun, UMNO pasca 9 Mei memperlihatkan keupayaannya sebagai check and balance bagi Kerajaan Persekutuan.
Dalam konteks ini, konservatisme sebagai sebuah ideologi yang mengekalkan keseimbangan sesuai dengan identiti politik pembangunan.
Persetujuan kerjasama atas nama ‘penyatuan ummah’ di antara pemimpin-pemimpin parti utama oposisi seperti Tuan Guru Haji Hadi Awang, Zahid Hamidi, Mohammad Hassan dan lain-lain telah menimbulkan satu bentuk keyakinan rakyat terhadap kedudukan pembangkang sebagai pelindung kepada hak istimewa Melayu dan agama di samping mengekalkan kelestarian politik Melayu Islam.
Pakatan UMNO-Pas pada satu sudut dilihat sebagai kerjasama tagteam yang romantis dan on-time dengan slogan ‘Penyatuan Melayu-Islam’.
Kolaborasi ini seolah-olah cuba mengulangi sejarah pakatan UMNO-Pas era 1973 lebih empat dekad lalu yang dirintis Tun Abdul Razak dan Datuk Asri Muda.
Namun, situasi ketika itu UMNO-Pas membentuk kerajaan. Berbeza kini kedua buah parti Melayu terbesar ini sebagai pembangkang terutamanya UMNO.
Dalam kerangka politik kaum, pakatan UMNO-Pas mempunyai kelebihan terutamanya bagi kawasan-kawasan di luar bandar yang masih kental sokongannya terhadap kedua-dua parti ini.
Pada masa sama, pakatan kedua parti ini turut mengambil sikap ‘bersoladariti’ antara satu sama lain apabila melancarkan ‘serangan’ kepada kerajaan PH.
Dalam keadaan ini PH sering kali diasak dengan persoalan berkaitan dasar dan pelaksanaan yang masih terbelenggu dengan kegagalan manifesto 100 harinya.
Politik, siapa mendapat apa dan bagaimana tidak perlu mengambil kira perihal moral lagi kerana kemuncaknya adalah matlamat menghalalkan cara.
UMNO-Pas sebagai dua parti tertua di Malaysia mempunyai pengalaman dalam sejarah politik Malaysia, walaupun pada kedudukan oposisi kedua parti ini tetap berbisa terutamanya dalam menjawab persoalan-persoalan yang diutarakan media dan dalam membuat kenyataan media serta status-status di media sosial.
Kedudukan Pas sebagai sebuah parti Islam yang istiqamah dengan wasilah dakwahnya dilihat semakin agresif dan relevan apabila berhadapan pelbagai isu melibatkan unsur liberal yang tumbuh meliar pada hari ini.
Begitu juga dengan UMNO sebuah entiti politik Melayu-Islam yang dilihat lebih membela nasib masyarakat Melayu miskin bandar dan luar bandar.
Kelemahan kerajaan yang tidak mempunyai pengalaman sebagai kerajaan menempangkan lagi struktur dan organisasinya. Bahkan, ketempangan ini tampak semakin jelas apabila anggotanya sering kali mengeluarkan kenyataan yang tidak selari sesama sendiri sehingga menimbulkan keraguan di mata masyarakat.
Justeru, propaganda merupakan agenda negara yang disalurkan daripada top to down manakala persepsi adalah kerangka yang terbentuk daripada dalam masyarakat terbawah kepada atas down to top.
Dalam konteks hari ini, propaganda kerajaan dilihat tidak dapat mengatasi persepsi yang semakin menebal sehingga membentuk dinding yang tinggi akibat kelemahan kerajaan yang memerintah.
Memetik George Santayana, “mereka yang tidak mengingati sejarah adalah cenderung untuk mengulanginya”.
Sejarah Revolusi Perancis 1789, menyaksikan pada awalnya rakyat begitu teruja dengan idea pembaharuan sehinggakan raja yang autokratik berjaya digantikan dengan kuasa demokrasi.
Namun, disebabkan ketamakan dan longgar ilmu memerintah maka akhirnya rakyat telah mengembalikan semula memilih monarki.
Oleh yang demikian, sekiranya PH tidak mahu mengukir sejarah sebagai kerajaan sepenggal, isyarat yang diberikan rakyat bagi kebanyakan isu dan pada PRK yang dipatahkan oleh organisasi konservatif wajarlah dipertimbangkan dengan serius.
Namun, sekiranya parti pemerintah masih terbuai dengan keselesaan maka PRK Rantau yang akan berlangsung dalam beberapa hari sahaja lagi barangkali akan digondolkan oleh gabungan UMNO-Pas, sekali gus menjadikannya kemenangan hat trick.
Pakatan UMNO-Pas sebagai sebuah parti berideologikan konservatisme yang menginstitusikan Melayu dan Islam sebagai teras perjuangannya dilihat mengukuhkan lagi kedudukan kedua-dua parti ini sebagai barisan pembangkang.
Hal ini kerana konservatisme sudah sebati menjadi struktur yang sukar digugat dalam konteks budaya politik Malaysia.
* Penulis berkelulusan Ijazah Sarjana Sains Politik UKM
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!