Tiga askar maut akibat serangan tentera udara Israel

Tentera udara pernah melancarkan banyak kali serangan udara di Syria sebelum ini. - Foto AFP
Tentera udara pernah melancarkan banyak kali serangan udara di Syria sebelum ini. - Foto AFP
A
A
A

DAMSYIK - Serangan udara tentera Israel ke atas Syria menyebabkan tiga askar maut dan tiga lagi cedera pada malam Ahad, lapor media kerajaan.

Media kerajaan melaporkan, pasukan pertahanan udara Syria menghadapi serangan Israel di kawasan luar bandar Damsyik dan di wilayah pantai Syria, Tartous.

Sumber tentera dalam satu kenyataan berkata, bahawa musuh Israel melakukan pencerobohan peluru berpandu pada jam 8.30 malam Ahad di kawasan luar bandar Damsyik.

Ia juga menggunakan ruang udara tenggara Mediterranean untuk melakukan serangan di sekitar Tartous.

“Pertahanan udara kami menghadapi pencerobohan, beberapa peluru berpandu dijatuhkan (dipintas). Tiga askar mati syahid, tiga lagi cedera dan kerosakan material dicatatkan akibat pencerobohan ini,” kata sumber itu seperti dilaporkan agensi berita rasmi, SANA.

Sejak perang saudara meletus di Syria pada tahun 2011, Israel melakukan ratusan serangan udara di dalam negara itu dengan menyasarkan kedudukan kerajaan serta tentera sekutu yang disokong Iran dan pejuang Hizbullah.

Selepas insiden terbaru pihak berkuasa Israel memberitahu AFP bahawa ia tidak mengulas laporan yang disiarkan dalam media asing. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!