Lelaki warga emas maut ketika mendaki
SANDAKAN - Seorang lelaki warga emas maut selepas dipercayai tergelincir dan terjatuh ke dalam gaung ketika melakukan aktiviti mendaki di Bukit Taman Mawar di sini pada Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa berusia 70 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah yang dialaminya.
Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 6.20 petang.
Menurutnya, seramai tujuh anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 10 kilometer dari BBP Sandakan.
"Menurut maklumat, seorang pendaki dipercayai tergelincir lalu terjatuh ke dalam gaung dari ketinggian 6.09 meter ketika melakukan aktiviti mendaki seorang diri di Bukit Taman Mawar.
"Pasukan bomba bergegas ke lokasi kejadian untuk tindakan lanjut dan mangsa yang mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, pasukan bomba kemudian bertindak membawa mangsa turun ke lokasi selamat seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut sebelum operasi ditamatkan pada jam 8.35 malam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!