Elakkan simpan patung di rumah
"JANGAN simpan patung, nanti malaikat tak masuk rumah engkau."
Seringkali kita dengar orang selalu berkata begini, bukan?
Barangkali, situasi ini pernah kita hadapi sendiri.
Tambahan pula, mereka yang ada anak kecil dan memerlukan permainan untuk merangsang perkembangan anak-anak.
Lazimnya, patung menjadi pilihan ibu bapa dan ada yang kata, ia dibolehkan kerana dianggap permainan semata-mata. Benarkah?
Selain itu, ada juga yang gemar menyimpan patung sebagai hiasan. Bagaimana pula dari segi hukumnya?
Sabda Nabi SAW: "Sesungguhnya malaikat tidak akan masuk suatu rumah yang di dalamnya mempunyai anjing dan gambar patung." (Riwayat al-Bukhari & Muslim)
Imam al-Nawawi pula berkata: "Menurut para ulama, antara sebab yang menghalang malaikat daripada masuk ke dalam rumah adalah kerana terdapat gambar (makhluk bernyawa).
" Perbuatan meletakkan gambar itu sebenarnya maksiat yang amat keji dan seolah-olah menyerupai ciptaan ALLAH SWT, manakala, sebahagian daripada gambar-gambar tersebut dijadikan sembahan."
Oleh itu, malaikat tidak akan masuk ke dalam rumahnya, tidak melakukan solat di dalamnya, tidak meminta keampunan bagi penghuninya, tidak memohon keberkatan seterusnya tidak melindungi penghuni rumah tersebut daripada gangguan syaitan.
Namun, hanya Malaikat Rahmah sahaja yang tidak masuk ke rumah kita.
Malaikat Rahmah ialah malaikat yang memohon keberkatan dan keampunan bagi penghuni di dalam rumah tersebut.
Bagaimanapun, Malaikat Hafazah masih tetap masuk ke dalam rumah kerana mereka diperintahkan untuk mencatat setiap amalan manusia.
Apabila disebut tentang rumah, ia adalah berbentuk tempat yang kita gunakan termasuk kereta dan seumpamanya.
Jika mahu meletakkan patung, maka, perlu dilihat apakah maksudnya.
Adakah ia patung yang dihormati, patung besar dan yang dipuja? Jika inilah tujuannya, jelas ia dilarang.
Adapun, sekiranya ia melibatkan permainan kanak-kanak kecil yang tidak diagungkan atau dimuliakan, ia dianggap sekadar barang permainan kanak-kanak.
Ia kerana sikap kanak-kanak bermain adakalanya mereka melempar patung tersebut dan meleraikan anggota patung mainan.
Maka, ia dibolehkan dengan syarat ia bukanlah patung yang besar dan hanyalah semata-mata patung kanak-kanak.
Pun begitu, kita disyorkan supaya mengelakkan permainan patung itu supaya tidak menimbulkan perkara yang boleh membawa kepada perasaan pemujaan dan sebagainya.
Sebaiknya, gantilah dengan hal-hal yang boleh mengelakkan daripada sebarang bentuk syubhah apabila kita meninggalkan perkara-perkara yang khilaf seperti ini.
Semoga kita dapat mendidik keluarga dan anak-anak kita agar benar-benar menghayati agama sebaik mungkin.
(Sumber: Al-Afkar #47: Hukum Patung Sebagai Perhiasan, Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!