Budayakan kibar Jalur Gemilang

Orang ramai yang hadir teruja mengibarkan Jalur Gemilang.- Foto: FB Wan Rosdy Wan Ismail
Orang ramai yang hadir teruja mengibarkan Jalur Gemilang.- Foto: FB Wan Rosdy Wan Ismail
A
A
A

TEMERLOH - Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail meminta rakyat di negeri ini mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera negeri di premis serta kediaman masing-masing bagi menyemarakkan lagi sambutan bulan kemerdekaan.

Menurutnya, langkah tersebut secara tidak langsung akan menyemai semangat patriotisme semua pihak.

"Sepatutnya bendera-bendera ini bukan setakat dikibarkan apabila tibanya bulan Ogos sahaja tetapi perlulah dikibarkan setiap masa sepanjang tahun.

"Amalan kibarkan Jalur Gemilang dan bendera negeri seharusnya menjadi trending di kalangan kita.

"Sekiranya kita membudayakan kibaran bendera ini dan sekali gus menyuntik kekaguman generasi muda kepada simbol negara dan negeri, barulah apabila mereka dewasa kelak ketika merantau jauh beribu batu di negara asing, mereka tidak lupa siapa diri mereka dan asal-usul mereka," katanya.

Beliau berkata sedemikian ketika berucap pada pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 Peringkat Negeri Pahang di Semantan Walk di sini pada Ahad.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd. Sharkar Haji Shamsudin dan barisan Exco negeri.

Wan Rosdy (tengah) bersama pemimpin negeri dan orang ramai yang hadir sempena pelancaran Bulan Kebangsaan dan Jalur Gemilang 2022 Peringkat Negeri Pahang di Temerloh pada Ahad. - Foto FB Wan Rosdy Wan Ismail.
Wan Rosdy (tengah) bersama pemimpin negeri dan orang ramai yang hadir sempena pelancaran Bulan Kebangsaan dan Jalur Gemilang 2022 Peringkat Negeri Pahang di Temerloh pada Ahad. - Foto FB Wan Rosdy Wan Ismail.

Ujarnya, rakyat juga diminta mengelakkan persengketaan kaum yang akhirnya akan merugikan semua pihak.

"Perpaduan kaum di negara kita amatlah penting dalam memastikan tanah air kita kekal utuh, mampan dan harmoni.

"Sebagai sebuah negara majmuk yang mempunyai pelbagai kaum yang hidup bersama, semangat kekitaan juga perlu disemai sejak dari kecil lagi.

"Usahlah kita bermain dengan api perkauman kerana kelak binasa habis terbakar diri. Peliharalah kedaulatan negara dengan menghormati prinsip Rukun Negara yang meletakkan Perlembagaan sebagai asas kepada kehidupan kita di negara ini," tambahnya lagi.

Dalam pada itu, beliau memberitahu kestabilan politik di negeri ini begitu penting agar kerajaan negeri sedia ada dapat melaksanakan pelbagai projek pembangunan dengan pantas dan lancar demi manfaat segenap lapisan masyarakat.

Ujarnya, ia dapat dapat dibuktikan apabila kerajaan negeri melaksanakan Bantuan Prihatin Pahang bagi menyalurkan bantuan kepada golongan sasar untuk mengelakkan ketirisan dan pembaziran.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!