Exco Kelantan patah kaki di Mesir dibawa pulang
KOTA BHARU - Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, Datuk Mohd Nassuruddin Daud yang mengalami patah kaki kanan akibat kemalangan di Mesir pada Sabtu kini dalam proses untuk dibawa pulang ke tanah air.
Setiausaha Pas Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat berkata, buat masa ini Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti itu sedang menunggu penerbangan.
"Kita pun tidak mendapat gambaran jelas lagi keadaannya di sana, tunggu sehingga sampai di sini," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai keadaan Mohd Nassuruddin yang kini berada di Mesir.
Sebelum itu beliau merasmikan Majlis Penganugerahan Pensijilan Kulinari 1.0 di H Elite Hotel di sini pada Isnin.
Difahamkan, kejadian berlaku ketika Mohd Nassuruddin bersama bekas ADUN Pulai Chondong, Zulkifli Mamat dan seorang pelajar menaiki sebuah kereta sebaik tiba di negara berkenaan.
Media sebelum itu melaporkan, Mohd Nassuruddin ke Mesir bersama rombongan beberapa pimpinan kerajaan negeri termasuk Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.
Rombongan berkenaan dijadualkan menghadiri Seminar Peradaban Kerajaan Negeri Kelantan di Timur Tengah 2022 (Spektrum 2022) bermula 14 hingga 16 Ogos.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!