Sikap Conte punca layangan kad merah: Tuchel

Perang mulut antara Tuchel (kiri) dan Conte setelah tamat perlawanan EPL di Stamford Bridge pada Ahad. - Foto Getty Images
Perang mulut antara Tuchel (kiri) dan Conte setelah tamat perlawanan EPL di Stamford Bridge pada Ahad. - Foto Getty Images
A
A
A

SIKAP pengendali Tottenham Hotspur, Antonio Conte yang tidak mahu memandang ke wajah pengendali Chelsea, Thomas Tuchel ketika bersalaman selepas tamat aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stamford Bridge pada Ahad dikatakan menjadi punca kedua-duanya dilayangkan kad merah.

Perkara tersebut didedahkan Tuchel yang memberitahu bahawa sikap Conte itu telah mencetuskan perang mulut antara mereka sehingga berlaku insiden layangan kad merah terhadapnya dan Conte setelah perlawanan berkenaan tamat dengan menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 2-2.

“Pada kebiasaannya apabila bersalaman, sudah pasti kita akan bertentang mata dan melihat wajah masing-masing sebagai tanda keikhlasan, tetapi Conte seolah-olah mahu menyatakan sesuatu yang berbeza.

“Selepas Spurs menjaringkan gol penyamaan pada masa kecederaan, saya memang agak beremosi... berbanding dia (Conte) yang kelihatan gembira apabila skuad kendaliannya itu berjaya menjaringkan gol penyamaan.

“Namun, sikapnya ketika mahu bersalaman dengan saya seolah-olah mempunyai ‘maksud’ yang lain kerana dia tidak mahu memandang ke arah saya dan ia menyebabkan saya ‘menyentak’ semula lengannya dan berlakulah perbalahan kecil sehingga kami berdua dilayangkan kad merah oleh pengadil,” katanya.

Pada perlawanan berkenaan, Kalidou Koulibaly membuka jaringan buat Chelsea pada minit ke-19 sebelum Pierre-Emmile Hojberg menjaringkan gol penyamaan buat Tottenham Hotspur pada minit ke-68.

Pemain pertahanan The Blues, Reece James kemudiannya meledak gol kedua pada minit ke-77, namun Harry Kane menjaringkan gol penyamaan pada masa kecederaan bagi memastikan kedua-dua pasukan berpuas hati dengan meraih satu mata pada perlawanan berkenaan.

Sementara itu Tuchel menegaskan bahawa dia dan Conte tidak seharusnya dilayangkan kad merah berkenaan.

“Sebenarnya saya dan Conte tidak ada apa-apa keperluan untuk dilayangkan kad merah, tetapi ia sekali gus menggambarkan mengenai bagaimana tingkah laku pengadil berkenaan pada perlawanan kali ini.

“Malah, ada beberapa lagi keputusannya yang boleh dipertikaikan, namun perlawanan sudah pun berakhir dan diharapkan perkara ni dapat ditangani segera (keputusan pengadil yang boleh dipertikaikan),” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!