Bangga rumah dipenuhi dengan Jalur Gemilang

Hassri dihadapan rumahnya di Kampung Bendahara Johor Bahru yang dipenuhi Jalur Gemilang.
Hassri dihadapan rumahnya di Kampung Bendahara Johor Bahru yang dipenuhi Jalur Gemilang.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Setiap kali menjelang Ogos, kediaman Hassri Abdul Kadir,56, di Kampung Bendahara di sini dipenuhi dengan kibaran ratusan Jalur Gemilang.

Jalur Gemilang yang digantung dengan pelbagai bentuk kreatif mencuri tumpuan sesiapa sahaja yang memasuki Kampung Bendahara yang terletak di tengah kawasan bandar raya ini.

Hassri yang merupakan pengusaha produk kayu berkata, aktiviti menghias Jalur Gemilang sepanjang Bulan Kemerdekaan bermula awal Ogos sehingga 16 September menjadi acara tahunan sejak tujuh tahun lalu.

Menurutnya, kemenangan yang diperoleh sewaktu menyertai pertandingan menghias Jalur Gemilang peringkat kampung dan negeri semasa Bulan Kemerdekaan sebelum ini turut membakar semangatnya untuk terus menunjukkan rasa cintakan negara.

Hassri memasang Jalur Gemilang di halaman rumahnya di Kampung Bendahara, Johor Bahru.
Hassri memasang Jalur Gemilang di halaman rumahnya di Kampung Bendahara, Johor Bahru.

"Saya mula pasang Jalur Gemilang sejak tujuh tahun lalu setiap kali Bulan Kemerdekaan sehingga Hari Malaysia pada 16 September.

"Isteri dan tiga orang anak turut membantu menghias rumah dengan Jalur Gemilang. Semangat cintakan negara amat menebal dalam diri saya dan keluarga," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Isnin.

Ditanya kos yang digunakan bagi menghias kediamannya dengan Jalur Gemilang, Hassri berkata, dia hanya menggunakan kos tidak sampai RM200 ringgit dengan bendera pelbagai saiz manakala kayu dan batang paip PVC untuk rangka Jalur Gemilang pula menggunakan bahan sedia ada di rumahnya.

"Setiap tahun pendekatan berbeza saya gunakan untuk menghias Jalur Gemilang supaya kelihatan lebih unik dan menarik. Antaranya yang pernah saya buat sebelum ini ialah replika wau, beca dan menara berkembar Petronas.

"Tahun ini saya bercadang untuk membuat replika keris daripada Jalur Gemilang. Kerja-kerja membuat replika itu akan dimulakan pada minggu depan," ujarnya.

Sementara itu, Hassri turut meminta orang ramai agar menghias Jalur Gemilang di kediaman masing- masing bagi menunjukkan semangat patriotisme kepada negara.

Hassri bersemangat mengibarkan Jalur Gemilang pada bulan kemerdekaan.
Hassri bersemangat mengibarkan Jalur Gemilang pada bulan kemerdekaan.

"Sebagai rakyat Malaysia, sepatutnya berbangga menyambut Hari Kebangsaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang.

"Ia juga merupakan salah satu cara untuk kita sebagai anak jati Malaysia menyemarakkan semangat patriotik dan menghargai kemerdekaan negara," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!