Kenakan hukuman berat kepada pesalah skandal LCS

Badlishah Sham
Badlishah Sham
A
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) menggesa hukuman berat dikenakan ke atas mereka yang terlibat dalam skandal kapal tempur pesisir (LCS) melibatkan peruntukan dana berjumlah RM6.083 bilion.

Presidennya, Badlishah Sham Baharin berkata, kejadian seumpama itu sama sekali tidak boleh diterima kerana ia melibatkan jumlah 'penyelewengan' duit rakyat yang sangat besar.

Oleh yang demikian tegasnya, tindakan segera perlu diambil oleh kerajaan untuk mengheret mereka yang bersalah ke muka pengadilan.

"Ikram berasa amat kesal dan kecewa dengan dakwaan berlakunya skandal penyelewengan dan salah laku dalam projek LCS bernilai RM9 bilion didedahkan oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

"PAC mendedahkan bahawa kerajaan Malaysia telah membayar RM6 bilion untuk pembelian tersebut, namun tiada satu pun kapal LCS yang siap sejak 2013.

"Oleh itu Ikram mendesak agar mereka yang terlibat dalam skandal ini disiasat segera oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Mereka yang bertanggungjawab dalam penyelewengan ini diheret ke muka pengadilan dan dihukum dengan hukuman yang berat kerana telah menyebabkan ketirisan wang negara yang amat besar," katanya dalam satu kenyataan.

Badlishah berkata, kepimpinan berwibawa di negara ini dilihat semakin terhakis akibat hilangnya kompetensi dan integriti dalam menguruskan wang rakyat apabila satu demi satu skandal kewangan kerajaan terdedah.

Menurutnya, kepimpinan berintegriti dan berwibawa adalah syarat kritikal untuk negara berada di landasan betul mencapai kejayaan dan mensejahterakan rakyat.

Bagi memastikan tidak berlakunya ketirisan dan penyelewengan katanya, skandal kewangan kerajaan atau terdapat unsur rasuah dalam sebarang projek kerajaan, perlu disiasat dengan terperinci.

Malah katanya, semua perbuatan tidak bertanggungjawab perlu dibanteras hingga ke akar umbi bagi mengelakkan ketirisan besar wang negara pada masa akan datang.

"Ikram ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada PAC yang telah melaksanakan tugas dengan teliti dan berintegriti," katanya.

Dalam pada itu Badlishah berkata, Ikram menyeru agar rakyat Malaysia memilih pemimpin yang benar-benar kompeten, berintegriti dan berwibawa dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Jelasnya, perkara itu sangat penting supaya negara dapat ditadbir dengan berkesan bagi memacu kemajuan dan mencapai kemakmuran.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!