SUKIPT 2022: UiTM juara keseluruhan petanque
UNIVERSITI Teknologi Mara (UiTM) dinobatkan sebagai juara keseluruhan acara petanque apabila menyapu bersih dua pingat emas yang dipertandingkan pada hari terakhir acara itu pada temasya Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT 2022).
Pada aksi yang berlangsung di gelanggang petanque kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris, UiTM tidak berdepan masalah untuk menewaskan wakil Universiti Kuala Lumpur (UniKL) menerusi kemenangan mudah 13-0 dalam aksi akhir trio lelaki.
Rentak cemerlang itu nyata memberi suntikan semangat kepada pasukan wanita UiTM apabila turut mengungguli perlawanan akhir dengan menidakkan cabaran skuad Universiti Sains Malaysia (USM) 13-4.
Bagi jurulatih UiTM, Syed Ali dia nyata berbangga dengan pencapaian yang diraih oleh anak buahnya yang disifatkan beraksi di luar jangkaan.
Jelas beliau, ini kerana mereka melepasi sasaran dua emas yang diletakkan oleh pihak pengurusan pada temasya kali ini.
“Alhamdulillah, saya sangat gembira dengan pencapaian atlet UiTM dalam acara petanque ini kerana mereka berjaya melebihi sasaran pingat emas yang ditetapkan.
“Jika diikutkan kami disasarkan dua emas sahaja, tapi tak sangka boleh dapat lagi dua emas pada hari terkahir,”katanya sejurus tamat perlawanan.
Untuk rekod, secara keseluruhan UiTM berjaya meraih empat emas satu perak pada temasya kali ini.
Ia sekaligus berjaya memperbaiki pencapaian pada edisi lalu yang berlangsung di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) apabila menamatkan saingan dengan tiga emas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!