Parti Melayu perlu bersatu jika mahu jadi teras kepimpinan
GEORGETOWN - Parti berasaskan Melayu perlu bersatu tanpa mewujudkan banyak pecahan sekiranya ingin memastikan sokongan padu daripada pengundi pada pilihan raya umum (PRU) nanti.
Veteran politik, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, mereka juga perlu memastikan penyatuan yang kukuh antara satu sama lain jika mahu terus menjadi teras kepada kepimpinan di negara ini.
"Pada saya, kalau nak mantapkan sokongan, tidak boleh ada banyak pecahan parti. Oleh itu, orang Melayu kena tentukan antara mereka, jika mahu jadi teras kepada kepimpinan, mereka kena kukuh, kena bersatu.
"Kalau tidak, ia akan selalu menjadi situasi 'berdagang politik', bila ini berlaku, ia tidak bagus. Sebab itu wujud macam-macam, kompromi sana sini, itu tidak elok," katanya pada sidang akhbar The World Islamic Enocomic Forum (WIEF) Foundation di Menara JKP di sini pada Isnin.
Selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), parti Melayu berpecah kepada beberapa parti antaranya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).
Dalam pada itu, beliau yang juga bekas ahli UMNO turut berharap berlakunya transformasi politik khususnya dari segi calon dengan memberi peluang kepada lebih ramai pemimpin muda bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) supaya golongan tersebut pula dapat menerajui dan meneruskan kesinambungan kepada kepimpinan negara.
Dalam masa sama katanya, pemimpin veteran yang mempunyai banyak pengalaman dalam pentadbiran negara boleh bertindak memberi nasihat dan panduan kepada pemimpin pelapis bagi mencorakkan masa depan yang lebih baik.
"Bukan masa untuk pemimpin lama memainkan peranan utama. Pada saya, kita perlukan pengalaman dan sinergi antara pemimpin muda dan veteran, namun biarlah 80 peratus adalah calon-calon muda.
"Orang yang tidak pernah bertanding, tiada rekod (jenayah atau rasuah) lebih baik," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!