Jabatan Perikanan tahan dua bot nelayan Vietnam

Bot nelayan asing Vietnam yang ditahan Jabatan Perikanan Malaysia kerana melakukan aktiviti menangkap ikan secara tunda ganding di perairan negara.
Bot nelayan asing Vietnam yang ditahan Jabatan Perikanan Malaysia kerana melakukan aktiviti menangkap ikan secara tunda ganding di perairan negara.
A
A
A

KEMAMAN – Tindakan dua bot nelayan asing Vietnam melakukan aktiviti menangkap ikan secara tunda ganding di perairan negara membawa padah apabila mereka ditahan Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) pada Ahad.

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Jabatan Perikanan Malaysia, Wan Muhammad Aznan Abdullah berkata, dua bot berkenaan ditahan sekitar jam 9 pagi dalam jarak sekitar 70 batu nautika dari Kuala Terengganu.

Menurut beliau, susulan tangkapan itu pihaknya turut menahan 16 krew bot warga Vietnam termasuk tekong dengan nilai rampasan berjumlah RM3.5 juta.

“Aktiviti bot asing itu dikesan oleh Pejabat Perikanan Negeri Terengganu yang membuat rondaan di perairan Terengganu pada jam 9 malam, Sabtu lalu dengan kekuatan seramai 12 anggota Unit Perlindungan Sumber Negeri.

“Kesemua krew, tekong dan bahan kes telah dibawa masuk ke Pusat Tahanan Vesel (PTV) Kemaman untuk disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) dan Seksyen 16 (3) Akta Perikanan 1985,” katanya di sini pada Isnin.

Wan Muhammad Aznan berkata, pihaknya memandang serius isu pencerobohan nelayan asing kerana dianggarkan negara mengalami kerugian sebanyak RM1.55 bilion bagi hasil laut dalam dan RM2.7 bilion bagi Zon C akibat perbuatan tersebut.

Sehubungan itu katanya, Jabatan Perikanan mengambil inisiatif meminda Akta Perikanan 1985 (2019) bagi mengatasi pencerobohan nelayan asing.

Jelas beliau, pindaan itu melibatkan kenaikan kadar denda RM1 juta kepada RM6 juta untuk nakhoda manakala RM100,000 dinaikkan kepada RM600,000 untuk setiap kru bagi vessel penangkapan ikan.

Wan Muhammad Aznan (berdiri, dua dari kanan) melihat krew bot asing yang berjaya ditahan Jabatan Perikanan Malaysia pada Ahad.
Wan Muhammad Aznan (berdiri, dua dari kanan) melihat krew bot asing yang berjaya ditahan Jabatan Perikanan Malaysia pada Ahad.

“Kita juga membuat pemantauan melalui Monitoring Controland Surveillance (MCS) berpusat di Ibu Pejabat Perikanan Malaysia dan melaksanakan operasi bersepadu bersama agensi penguatkuasaan,” katanya.

Menurut Wan Muhammad Aznan, operasi membanteras pencerobohan nelayan asing itu melibatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Pasukan Polis Marin, Tentera Laut Darat Malaysia (TLDM) dan Pasukan Udara Polis Diraja Malaysia.

“Bagi menangani Sekuriti Makanan Negara, DOF telah melanggan sistem ENAV bagi mengesan bot penangkapan ikan asing yang berada di perairan Malaysia. Data penjejakan yang diperolehi digunakan untuk analisa trend pergerakan vesel asing selain membantu aktiviti penguatkuasaan.

“Penggunaan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) dan kod QR turut dilaksanakan bagi memudahkan pengenalan bot penangkapan ikan tempatan kerana pencerobohan ke perairan dan sempadan negara merupakan isu kedaulatan negara yang perlu ditangani oleh semua pihak,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!