Sebutan kes seksual Safiey Ilias pada 27 Oktober

Safiey Ilias mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan amang seksual bukan fizikal.
Safiey Ilias mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan amang seksual bukan fizikal.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin menetapkan 27 Oktober depan untuk sebutan kes usahawan kosmetik Safiey Ilias yang didakwa atas dua pertuduhan termasuk melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap seorang remaja lelaki melalui aplikasi Instagram.

Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Nurhashimah Hashim memohon tarikh sebutan seterusnya untuk serahan dokumen berkaitan kes tersebut.

Terdahulu, Nurhashimah memaklumkan bahawa Safiey Ilias, atau nama sebenarnya Mohd Safiuddin Ilias, 28, telah didakwa di Mahkamah Sesyen Putrajaya pada Mac lepas namun kes itu dipindahkan ke Mahkamah Ampang dan hari ini adalah sebutan kali pertama di Mahkamah Ampang.

Penyanyi lagu ‘Syinta Gila’ itu, yang diwakili peguam Harjeet Singh Sidhu, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berkomunikasi secara seksual dengan mangsa menerusi aplikasi Instagramnya di kediamannya di Bandar Baru Bangi pada 9 pagi 9 Jun 2021.

Dia juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan amang seksual bukan fizikal dengan menggoyang-goyangkan payu daranya di hadapan mangsa di lokasi, masa dan tarikh sama.

Safiey Ilias didakwa mengikut Seksyen 11(1)(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun dan Seksyen 15 (a)(i) yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Media sebelum ini melaporkan polis menerima laporan berhubung dua pemilik akaun dikenali sebagai ‘safieyillias94’ dan ‘pipinatasha’ berpakaian mencolok mata semasa mengadakan sesi perbualan sidang video secara langsung bersama rakannya di Instagram disertai dua kanak-kanak bawah umur. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!