MAG muktamadkan pemerolehan 20 pesawat A330neo

Ka Siong (berdiri, kiri) bersama Pengerusi Kumpulan Malaysia Aviation Group (MAG), Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin (berdiri, kanan) menyaksikan Majlis Menandatangani MoU antara Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Aviation Group (MAG), Izham Ismail (duduk, dua dari kiri) bersama Ketua Pegawai Komersil Airbus dan Ketua Antarabangsa, Christian Scherer (duduk, dua dari kanan) hari ini. - Foto Bernama
Ka Siong (berdiri, kiri) bersama Pengerusi Kumpulan Malaysia Aviation Group (MAG), Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin (berdiri, kanan) menyaksikan Majlis Menandatangani MoU antara Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Aviation Group (MAG), Izham Ismail (duduk, dua dari kiri) bersama Ketua Pegawai Komersil Airbus dan Ketua Antarabangsa, Christian Scherer (duduk, dua dari kanan) hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Syarikat induk Malaysia Airlines, Malaysia Aviation Group (MAG) memuktamadkan pemerolehan 20 pesawat pengangkut badan lebar, A330neo sebagai transisi menggantikan A330ceo.

Ketua Pegawai Eksekutif MAG, Kapten Izham Ismail berkata, tiada sebarang kos dikeluarkan untuk pemerolehan tersebut kerana ia melibatkan 10 pesawat yang akan dipajak, manakala 10 lagi akan dibeli dan dipajak semula kepada Avolon.

"Dua pesawat pertama akan diterima pada separuh kedua tahun 2024 dan baki secara berperingkat sehingga tahun 2028," katanya menerusi sidang akhbar majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) penghantaran pesawat di sini, pada Isnin.

Turut hadir, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang menyaksikan pemeteraian MoU antara MAG dan Airbus serta perjanjian bersama MAG dengan pengeluar enjin Rolls-Royce dan Avolon.

Menurutnya, pesawat A330neo bukan sahaja menjadi armada Malaysia Airlines lebih moden, malah turut mempertingkatkan kecekapan operasi.

"Ia juga memenuhi sasaran pemulihan alam sekitar melalui pengurangan pembakaran bahan api bagi setiap tempat duduk, di samping mengekalkan keselamatan serta keselesaan penumpang sebagai terasnya," katanya.

Beliau berkata, dengan pemeteraian MoU itu, ia merupakan pencapaian bermakna syarikat penerbangan itu ketika MAG memacu ke hadapan menjayakan pelaksanaan Pelan Perniagaan Jangka Panjang 2.0 untuk meletakkan dirinya selaku peneraju kumpulan perkhidmatan penerbangan di rantau ini.

Selain memperbaharui armada pesawat badan lebar, MAG dan Airbus turut menandatangani Surat Hasrat (LOI) untuk meneroka peluang usahasama yang lebih luas dalam bidang kelestarian, latihan, penyelenggaraan dan pengurusan ruang udara.

A330neo merupakan versi generasi terbaru pesawat badan lebar yang menggabungkan enjin pesawat terkini, sayap baharu dan pelbagai inovasi dalam aspek aerodinamik.

Pesawat ini menawarkan sehingga 25 peratus pengurangan dalam penggunaan bahan api dan sisa buangan serta mampu terbang sehingga 13,300 kilometer tanpa henti.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!