Ancelotti puas hati semangat melawan Real Madrid
DAVID Alaba muncul wira Real Madrid ketika penyandang juara La Liga itu bergelut untuk bangkit ketinggalan satu gol bagi mengatasi Almeria 2-1 dalam perlawanan liga di Stadium Power Horse, Almeria.
Bagaimanapun, perlawanan pertama liga musim baharu itu menyaksikan Almeria terlebih dulu menerusi jaringan Largie Ramazani pada minit keenam bagi memimpin babak pertama.
Bersambung babak kedua, Real Madrid tampil menggandakan asakan akhirnya menemui jaringan penyamaan menerusi Lucas Vázquez (61') sebelum David Alaba yang dimasukkan menggantikan Ferland Mendy minit ke-74' muncul wira pelawat seminit kemudian.
Sementara itu, pengendali Real Madrid, Carlo Ancelotti mengakui perlawanan tersebut merupakan aksi yang sukar selepas tuan rumah mendahului pasukannya.
"Bagaimanapun, saya berpuas hati dengan karakter melawan dipamerkan para pemain terutamanya pada babak kedua.
“Sejujurnya, ia menjadi perlawanan yang sukar disebabkan kesilapan mudah dilakukan bahagian pertahanan tetapi kemudian kami bertambah baik. "Kami mempunyai banyak sepakan sudut, peluang dan kemudian menjaringkan gol,” katanya.
Mengenai gol kemenangan Real Madrid jaringan Alaba, Ancelotti berkata bahawa sepakan tersebut sepatutnya diambil Karim Benzema atau Toni Kroos, namun menganggap Alaba boleh melakukannya lebih baik dari sudut tersebut.
"Jadi saya memutuskan bahawa Alaba akan mengambilnya, namun sebenarnya tidak mudah untuk memberitahu Karim Benzema dan Toni Kroos bahawa Alaba akan mengambil sepakan itu," kata Ancelotti berseloroh.
Kemenangan itu membolehkan Real Madrid yang akan berdepan Celta Vigo hujung minggu ini, menduduki tangga kedua liga dengan mengumpul tiga mata selepas mengharungi satu perlawanan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!