Tiga faktor ikan bilis naik ke pantai

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

IPOH - Jabatan Perikanan Negeri Perak akan memantau fenomena ikan bilis naik ke darat dan terdampar di pantai Pasir Bogak, Pulau Pangkor dari semasa ke semasa.

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Perak, Noraishah Hashim berkata, pihaknya menerima maklumat bahawa insiden itu berlaku pada kira-kira 7.30 hingga 8 malam Sabtu.

"Insiden yang sama berlaku pada Jumaat... didapati anak ikan tamban juga naik dan terdampar di pantai tersebut dalam kuantiti yang kecil," menurutnya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, fenomena itu menyebabkan penduduk dan pengunjung mengambil kesempatan mengutip ikan bilis yang terdampar serta sudah kering di tepi pantai antara 11 pagi hingga 1 tengah hari pada Ahad.

Katanya, dianggarkan lebih dua kilogram ikan bilis dikutip di kawasan sepanjang 500 meter di pantai Pasir Bogak.

Noraishah juga berkata, siasatan pihaknya mendapati insiden ikan bilis naik ke darat dan terdampar di pantai hanya berlaku di Pasir Bogak sahaja.

"Maklumat daripada nelayan yang menangkap ikan di kawasan sekitar memaklumkan kemungkinan ikan besar terutama ikan alu-alu yang mengejar dan memakan ikan bilis menyebabkan ikan bilis melompat ke pantai.

"Ada maklumat juga memaklumkan kemungkinan lambakan ikan bilis di kawasan pantai Pasir Bogak disebabkan cahaya lampu di kawasan tersebut," katanya.

Beliau berkata bagaimanapun, mengikut kajian saintifik terdapat tiga faktor yang menyebabkan ikan bilis naik ke pantai iaitu antaranya perubahan drastik suhu air laut, pertumbuhan alga serta plankton selain arus dan gelombang yang tinggi.

Noraishah berkata, maklumat daripada pengusaha dan nelayan vesel ikan bilis mendapati hasil tangkapan meningkat beberapa hari sebelum fenomena itu berlaku.

Katanya, pihak Jabatan Perikanan berpandangan dasar Pengezonan Semula Kawasan Penangkapan Ikan Di Pantai Barat Semenanjung Malaysia pada 2016 yang mewujudkan Zon Konservasi iaitu kawasan pembiakan ikan dari pantai hingga 1.0 batu nautika dengan melarang sebarang aktiviti menangkap ikan telah menampakkan kejayaan dengan penambahan ikan bilis.

Pada Isnin, tular di media sosial beberapa gambar dan video menunjukkan ribuan ikan bilis yang melompat ke darat dan terdampar di tepi pantai. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!