Pasukan golf UUM cemerlang sapu empat emas
PASUKAN golf Universiti Utara Malaysia (UUM) mencipta kejutan apabila cemerlang meriah empat pingat emas pada temasya Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2022.
Empat emas yang diperoleh itu sekali gus melepasi sasaran yang ditetapkan kontinjen UUM apabila universiti dari Sintok, Kedah itu hanya meletakkan dua pingat emas pada temasya edisi kali kelima tersebut.
Pada saingan tersebut, Muhammad Ikhmal Basry dan Nur Maisara Saad masing-masing menuai emas dalam acara individu gross lelaki dan gross wanita.
Kedua-dua atlet berkenaan turut melakukan kejutan apabila menambah dua lagi pingat emas lagi dalam acara kumpulan gross dan kumpulan net.
Jurulatih golf UUM, Wan Rosni Wan Chik berkata, beliau sebenarnya tidak menyangka pasukannya mampu menjadi juara keseluruhan sukan tersebut.
Menurut beliau, ia kerana pasukan lain yang turut menyertai acara golf itu menghantar barisan atlet terbaik.
“Sebenarnya pada edisi kali ini kita meletakkan sasaran untuk memburu dua pingat emas namun Ikhmal dan Nur Maisara mempamerkan persembahan cukup baik.
“Kedua-dua mereka perbaiki catatan terbaik mereka untuk memastikan pingat emas menjadi milik UUM pada edisi kali ini.
“Saya berbangga dengan pencapaian mereka semua dan saya harap akan ada kejayaan yang lebih baik mampu dicapai mereka di pentas lebih tinggi,” kata Wan Rosni.
Selain dua emas, UUM turut berjaya meraih tiga perak dan satu gangsa ketika bersaing di Kelab Golf Bukit Beruntung.
Sementara itu, penuntut Universiti Malaya, Ahmad Hafiz Selamat berjaya meraih pingat emas dalam kategori individu net lelaki.
Manakala, Evelyn Yeoh Xiao Yan dari Sunway University mengondol pingat emas dalam kategori individu net wanita.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!