Enam parti mohon sertai BN, kelulusan sedang diperhalusi
KUALA LUMPUR - Barisan Nasional (BN) mengesahkan menerima permohonan lima lagi parti yang mahu menyertai gabungan itu selain Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Bagaimanapun menerusi Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) pada malam Isnin, belum membuat sebarang keputusan dibuat berhubung permohonan berkenaan.
Presiden MIC, Tan Sri S. Vigneswaran berkata, perbincangan mengenai permohonan berkenaan memang dilakukan pada mesyuarat tersebut.
"Ada perbincangan (mengenai permohonan sertai BN). Enam (parti) yang minta. Tapi belum buat keputusan," katanya ketika ditemui selepas mesyuarat tersebut pada Isnin.
Sementara itu, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abd Kadir yang ditemui pemberita bagaimanapun enggan mendedahkan lebih lanjut mengenai lima lagi parti berkenaan.
Menurutnya, kesemua permohonan tersebut sedang diperhalusi oleh pihak urusetia BN.
"Mesyuarat membincangkan permohonan beberapa buah parti untuk menjadi komponen BN yang pasti lebih daripada satu (parti).
"Dewan Tertinggi merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada parti-parti tersebut atas minat dan kesediaan mereka untuk bersama-sama dengan BN," katanya.
Menerusi kenyataan rasmi tersebut, Zambry berkata, pada mesyuarat sama, Dewan Tertinggi BN telah dimaklumkan tentang persiapan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di semua peringkat dan komponen BN.
"Dewan Tertinggi berpuas hati dengan tahap kesiapsiagaan yang sedang dijalankan di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) seluruh negara," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!