Persidangan UMNO bermula, medan penting kukuhkan parti

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kanan) bergambar bersama Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) dan Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir (kiri) selepas mempengerusikan Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional di Menara Dato Onn pada Isnin. - Foto Bernama
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kanan) bergambar bersama Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) dan Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir (kiri) selepas mempengerusikan Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional di Menara Dato Onn pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Persidangan Cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO seluruh negara yang bermula Isnin hingga 18 September depan merupakan medan yang amat penting bagi agenda pengukuhan parti itu.

Justeru, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kesemua yang terlibat perlu terus bersatu hati.

"Selamat bersidang kepada semua Cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO seluruh negara bermula hari ini (Isnin), 15 Ogos sehingga 18 September 2022.

"Persidangan kali ini merupakan medan yang amat penting bagi seluruh ahli di peringkat akar umbi membincangkan agenda memperkukuhkan parti terutama dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU).

"Ayuh bulatkan tekad, kuatkan semangat dan bersatu hati agar parti keramat UMNO sentiasa menjadi tunjang rakyat dengan menjunjung kepentingan agama, bangsa dan tanah air tercinta," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Sebelum ini, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO telah menetapkan bahawa tarikh persidangan Cawangan, Bahagian dan Perhimpunan Agung UMNO bagi tahun 2022 dilaksanakan bermula Ogos.

Persidangan UMNO Cawangan adalah pada 15 Ogos hingga 18 September 2022; Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO, Pemuda UMNO dan Puteri UMNO Bahagian pada 7, 8 dan 9 Oktober 2022.

Manakala, mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian: 14, 15 dan 16 Oktober 2022 dan Perhimpunan Agung UMNO; 23 hingga 26 November 2022.

Bagaimanapun tidak ada pemilihan jawatan dalam Persidangan Cawangan, Mesyuarat Perwakilan Bahagian dan Perhimpunan Agung pada kali ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!