PRU15: Banyak faktor penentu BN boleh menang atau tidak

Ismail Sabri ketika berucap di Konvensyen Barisan Nasional 2022 dan Sambutan Ulang Tahun Barisan Nasional ke-48 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, pada Jun lalu - Foto Bernama
Ismail Sabri ketika berucap di Konvensyen Barisan Nasional 2022 dan Sambutan Ulang Tahun Barisan Nasional ke-48 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, pada Jun lalu - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak boleh meletakkan kajian sikap yang sedang dilakukan Wanita Barisan Nasional (BN) sebagai petunjuk utama untuk membubarkan Parlimen bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Sivamurugan Pandian
Sivamurugan Pandian

Penganalisis Politik daripada Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Sivamurugan Pandian berkata, banyak faktor lain yang menentukan kecenderungan sama ada BN boleh mencatatkan kemenangan atau tidak.

Menurutnya, faktor calon yang dipilih, kesiapsiagaan jentera parti dan isu yang dibawa menjadi perkara akan mengemudi parti tersebut dalam PRU15.

“Terdapat kajian sikap yang semata-mata cuba untuk memberikan keselesaan kepada pemimpin tertentu dan bukan gambaran sebenar dalam pilihan raya.

“Contohnya pada PRU14 lalu, banyak kajian sikap yang diadakan sangat berlebihan sehingga ada meramalkan BN menang 2/3, tetapi di lapangan tidak menunjukkan sentimen itu.

“Bagi saya, kajian sikap ini banyak yang boleh dipersoalkan dan hanya boleh dijadikan sebagai salah satu petunjuk kemenangan BN,” katanya.

Dalam masa sama, Sivamurugan juga menyifatkan tindakan Ismail Sabri yang terlebih dahulu menilai seberapa banyak pandangan dan kajian sikap sebagai langkah berhati-hati.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!