Swastakan saja produk pelancongan
NILAI sejarah memang mahal, begitulah juga untuk menjaganya agar tidak lenyap sehingga tinggal kenangan sahaja.
Malangnya, timbul persoalan mengenai nasib sesetengah aset pelancongan bersejarah yang dulu gah tetapi sekarang terabai tanpa sebarang perancangan untuk mempertahankannya.
Akhirnya semuanya menjadi usang dan berlakulah pembaziran.
Kita sedar bahawa membina sesuatu tarikan pelancongan lebih mudah berbanding menjaga aset berkenaan untuk jangka masa panjang.
Namun lebih menyedihkan apabila destinasi itu yang telah menjadi tumpuan sebelum ini tiba-tiba kehilangan pelancong akibat ‘perkhidmatan selepas jualan’ diambil secara sambil lewa.
Itulah yang banyak berlaku kepada industri pelancongan tempatan khususnya yang dikawal selia oleh kerajaan, dengan memberikan pelbagai alasan seperti kos terus meningkat sehingga tidak mampu ditampung lagi.
Ini amat berbeza dengan negara luar yang begitu mempertahankan nilai sejarah sehinggakan pelancong dari seluruh dunia datang dan industri pelancongan mereka terus berkembang.
Inilah yang kerajaan perlu tangani segera dengan mengambil langkah proaktif agar semua destinasi bersejarah ini diangkat ke tempat yang sepatutnya.
Industri pelancongan harus segera bangkit kerana begitu ramai yang akan mendapat manfaat, bukan setakat pekerja, malahan mak cik berniaga tepi jalan pun boleh menumpang rezeki.
Kita telah berada dalam fasa peralihan endemik yang menyasarkan pelbagai industri sokongan akan turut mendapat kesan positif.
Misalnya dalam Bajet 2022, kerajaan telah menyuntik sebanyak RM1.6 bilion bagi memastikan industri ini terus bernyawa.
Mungkin dalam Bajet 2023 nanti, peruntukan lebih besar boleh diberikan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya demi kelangsungan industri ini.
Dalam keadaan sekarang, kerajaan wajar mengambil langkah tegas demi memastikan semua agensinya bersikap kreatif dalam menjana semula dana yang telah dikeluarkan dan jika perlu, bekerjalah lebih masa, bukan sekadar siap kerja boleh pulang.
Sesekali kerajaan kena juga mengambil kira amalan sektor swasta yang bekerja atas dorongan kos, untung dan rugi agar segala yang dilakukan menjadi kos efektif dan meningkatkan produktiviti.
Ini adalah masa untuk bangkit semula dengan lebih kreatif.
Jika itu tidak mampu dilakukan agensi kerajaan, lebih baik swastakan sahaja produk pelancongan dan suntiklah dana.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!