Teruskan projek Mara Digital Mall: PM
PUTRAJAYA - Majlis Amanah Rakyat (Mara) diarahkan untuk meneruskan projek Mara Digital Mall bagi membuka peluang kepada anak muda bumiputera terlibat sebagai usahawan teknologi (IT).
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tinjauan mengejutnya ke pusat membeli-belah itu mendapati peniaga mampu untuk meneruskan perniagaan kerana jualan semakin meningkat.
"Cuma mereka memerlukan sokongan promosi, bantuan pinjaman, pengurangan kadar sewa dan lain-lain daripada Mara," katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya lewat malam Isnin.
Menurutnya, Mara Digital Mall diwujudkan bagi membangunkan usahawan bumiputera dalam bidang IT dan gadget sama ada menjual produk, baik pulih serta sebagainya.
"Mara Digital Mall sangat dekat di hati saya, namun selepas kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih pemerintahan, ia telah ditutup dan projek baru tidak diteruskan," katanya.
Mara Digital Mall dicetuskan oleh Ismail Sabri yang ketika itu Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah pada tahun 2015.
Ia kemudiannya dibuka di Shah Alam, Kuantan dan Ipoh.
Beberapa lokasi telah dikenal pasti seperti di Larkin, Kuala Terengganu, Kota Bharu, Kuching serta Kota Kinabalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!