KUALA TERENGGANU - Dua rakan sekerja maut selepas motosikal ditunggangi bertembung di antara satu sama lain, dalam kejadian di Jalan Kampung Bukit, berhampiran Depo Jabatan Kerja Raya (JKR), Chendering, di sini, malam tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 8.10 malam itu, Mohamad Zulfahmi Faisal Mohd Marzuki, 25, dari Kampung Banggol Pasir Tinggi, Marang, dan Mohamad Khairul Izuan Ariff, 22, dari Kampung Paya Resak, Marang, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas cedera parah di kepala serta badan. Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Superintendan Abd Razak Hasan berkata, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati Mohamad Zulfahmi Faisal menunggang motosikal Honda EX5 dari arah Kampung Bukit menghala ke kilang elektronik Aptiv di Chendering untuk masuk kerja. "Manakala sebuah motosikal juga jenis Honda EX5 ditunggang rakan sekerjanya, Mohamad Khairul Izuan datang dari arah bertentangan dalam perjalanan pulang ke rumah bertembung dengan motosikal Mohamad Zulfahmi Faisal. "Difahamkan, motosikal ditunggangi Mohamad Zulfahmi Faisal hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan. "Pertembungan kuat itu menyebabkan motosikal kedua-dua mangsa rosak teruk," katanya. Beliau berkata, petugas ambulans dari Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) yang tiba di lokasi cuba menyelamatkan mangsa dan memberi bantuan kecemasan. "Bagaimanapun, kedua-duanya yang cedera parah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. Abd Razak berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik HSNZ sebelum dituntut ahli keluarga mangsa untuk urusan pengebumian. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan sehingga menyebabkan kematian.