[VIDEO] JHEAINPP buat siasatan menyeluruh terhadap kedai nasi ayam

Tangkap layar klip video mengenai dua orang pekerja kedai nasi ayam yang didakwa mengambil bahan masakan daripada restoran bukan Islam di Paya Terubong.
Tangkap layar klip video mengenai dua orang pekerja kedai nasi ayam yang didakwa mengambil bahan masakan daripada restoran bukan Islam di Paya Terubong.
A
A
A

GEORGETOWN - Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAINPP) akan menjalankan siasatan terperinci terhadap dakwaan sebuah kedai menjual nasi ayam yang mengambil bahan masakan daripada sebuah restoran bukan Islam di Paya Terubong.

Jurucakap JHEAINPP berkata, pihaknya akan membuat semakan terperinci pada Selasa berhubung dakwaan tersebut.

Menurutnya, semakan telah dibuat pada Isnin, namun perlu dilakukan semula berhubung dakwaan terhadap kedai makan tersebut.

"Kita sudah jalankan siasatan pada Isnin, namun akan menjalankannya dengan lebih terperinci hari ini (Selasa).

"Siasatan pada hari ini juga akan dijalankan bersama agensi lain. Kita akan maklumkan kemudian mengenai siasatan yang dijalankan pada hari ini," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Sebelum ini, tular klip video berdurasi 2 minit 38 saat berhubung dua lelaki dilihat memasuki sebuah restoran bukan Islam di Paya Terubong dipercayai untuk mengambil masakan nasi ayam dan menjualnya di gerai di Sungai Ara.

Perkara itu telah mencetuskan ketidakpuasan hati dalam kalangan orang Muslim terutamanya pelanggan yang pernah membeli juadah nasi ayam di kedai terbabit.

Difahamkan, setelah tular video tersebut, pemilik gerai telah menutup perniagaan mereka selepas dinasihati penduduk berdekatan.

Lebih mengecewakan, kedai itu tular dan mendapat perhatian ramai setelah ia mendapat liputan 'paid review' daripada seorang pempengaruh media sosial.

Bagaimanapun, pempengaruh tersebut telah tampil menjelaskan perkara sebenar yang mana, dia tidak mengetahui mengenai tuduhan tersebut dan hanya menjalankan tugas setelah dibayar untuk membuat 'paid review'.

Bimbang tuduhan tersebut akan mengeruhkan lagi keadaan, pempengaruh tersebut telah memadam video berkenaan.

Susulan daripada itu, tular sebuah lagi video dipercayai daripada pemilik kedai yang menafikan tuduhan tersebut.

Pemilik kedai terbabit menjelaskan bahawa mereka memasak makanan itu sendiri di sebuah premis di kompleks membeli-belah sebelum membawanya untuk dijual di premisnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!