Junta tidak endah gesaan ASEAN
PUTRAJAYA - Hukuman tambahan penjara enam tahun terhadap aktivis demokrasi, Aung San Suu Kyi membuktikan pemerintah Myanmar yang dikuasai junta tidak mengendahkan gesaan pemimpin ASEAN bagi memenuhi Konsensus Lima Perkara (5PC).
Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, Malaysia berdiri teguh bersama rakyat negara itu dan menyokong gesaan Suu Kyi dibebaskan bagi memulakan dialog secara aman dan inklusif dengan pihak berkepentingan.
"Sesi dialog itu termasuklah @NUGMyanmar dan Majlis Perundingan Perpaduan Negara (NUCC)," katanya menerusi ciapan di Twitter pada Selasa.
Mahkamah Myanmar pada Isnin menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Suu Kyi yang sedang menjalani hukuman penjara 11 tahun.
Suu Kyi yang juga Kaunselor Negara ditahan pada 1 Februari 2021 bersama pegawai parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) yang lain.
Pentadbiran negara Myanmar berpindah kepada Panglima Angkatan Tentera Jeneral Kanan, Aung Hlaing selepas darurat diisytiharkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!