Tuchel, Conte berdepan tindakan

Insiden pergaduhan antara Tuchel (kiri) dan Conte di Stamford Bridge pada Ahad.
Insiden pergaduhan antara Tuchel (kiri) dan Conte di Stamford Bridge pada Ahad.
A
A
A

PENGURUS Chelsea, Thomas Tuchel dan rakan sejawatnya di Tottenham Hotspur, Antonio Conte berdepan tindakan oleh Persatuan Bolasepak (FA) Inggeris ekoran perselisihan faham ketika perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stamford Bridge Ahad lalu.

Tuchel dan Conte bersalaman selepas tamat perlawanan sebelum mereka dilihat bertikam lidah di tepi padang sehingga terpaksa dileraikan pemain dan staf kedua-dua pasukan.

Berikutan perbalahan terbabit, kedua-dua pengurus itu dilayangkan kad merah oleh pengadil, Anthony Taylor.

FA dalam satu kenyataan menyebut, kedua-dua pengurus itu akan didakwa kerana sikap tidak sepatutnya di akhir perlawanan itu.

"Mereka diberi masa sehingga Khamis ini untuk memberikan reaksi terhadap dakwaan itu," katanya.

FA turut menyiasat komen Tuchel selepas pengendali dari Jerman itu mengecam keputusan Taylor melayangkan kad merah.

Tuchel mendakwa Taylor dan Pembantu Pengadil Video (VAR) membuat kesilapan yang membolehkan Spurs pulang dari Stamford Bridge dengan satu mata.

Tuchel pada sidang media selepas perlawanan mendakwa 'berlaku kesilapan besar salah tafsir situasi'.

"Lebih baik jika Taylor tidak lagi terbabit mengadili perlawanan membabitkan Chelsea," kata Tuchel.

Para penyokong turut melancarkan satu petisyen dalam talian tidak mahu Taylor menjadi pengadil pada perlawanan membabitkan Chelsea pada masa depan dan memperoleh lebih 122,000 tandatangan.

Pada ketika Tuchel dan Conte terbabit dalam perselisihan faham itu, mereka kemudian bertenang selepas perlawanan serta tidak menyimpan perasaan dendam antara satu sama lain.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!