UMNO bertembung Pas, PH yang untung - UMNO Alor Setar
ALOR SETAR - Kepimpinan UMNO dan Pas di peringkat pusat perlu duduk dan berbincang bagi menghadapi Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) demi kepentingan ummah kerana pertembungan dua parti ini hanya memberikan keuntungan kepada Pakatan Harapan (PH).
Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd Yusof Ismail berkata, pemimpin parti di peringkat pusat perlu meletakkan kepentingan ummah dan bangsa sebagai keutamaan berbanding kepentingan diri masing-masing.
Menurutnya, UMNO dan Pas di peringkat bawah juga perlu sukarela untuk berbincang demi penyatuan Melayu dan keputusan itu kemudiannya diangkat kepada pimpinan pusat untuk diteliti.
"Sebab itu maknanya pemimpin di atas itu kena melihat, jangan sampai kita nak jaga ego kita. Kita nak jaga pendirian kita sehinggakan bangsa ini tergadai. Negara ini tergadai pada orang.
"Sebab itu maknanya pemimpin Pas dan UMNO di Nasional perlu bincang kalau perlu korban, korbanlah. Kalau tak perlu korban... tapi saya tengok ada yang akan terkorban. Masalahnya janganlah kita tengok kepada kepentingan peribadi. Kita tengok kepada kepentingan ummah, kepada kepentingan bangsa," katanya pada sidang akhbar pada malam Isnin.
Beliau berkata demikian selepas pelancaran jentera Barisan Nasional (BN) PRU15 dan kibar Jalur Gemilang di Taman Budiman, dekat sini.
Mohd Yusof yang juga Pengerusi BN Parlimen Alor Setar berkata, rundingan bakal menyebabkan parti kehilangan beberapa kerusi namun lebih baik berbanding daripada hilang kuasa seperti yang berlaku pada PRU14.
Dalam pada itu, beliau turut mengakui sukar buat UMNO untuk menghadapi Pas, PH dan Gerakan Tanah Air (GTA) jika bertembung di Parlimen Alor Setar pada PRU15 namun peluang untuk parti itu menang tetap ada.
"Kalau dalam Muafakat Nasional (MN) kita boleh bincang tentang kerusi ini tetapi jika sebaliknya memang agak sukar terutamanya di Parlimen Alor Setar.
"Namun dalam perkiraan, peluang menang tetap ada jika meletakkan calon dari UMNO bagi mewakili BN namun jika meletakkan calon dari MCA agak sukar," ujarnya
Jelasnya lagi, penyokong UMNO di peringkat akar umbi juga mahu kerusi Parlimen Alor Setar ditandingi oleh calon daripada parti tersebut berikutan terdapat 65 peratus pengundi Melayu di parlimen ini.
"Kami di pimpinan UMNO Bahagian menyuarakan hasrat ahli kerana mahu melihat kerusi ini kembali kepada BN selepas jatuh kepada pembangkang sebelum ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!