Netizen puji penerima zakat mohon tamatkan bantuan

Surat permohonan penerima bantuan zakat yang dikongsi LZS di laman Facebooknya pada Selasa.
Surat permohonan penerima bantuan zakat yang dikongsi LZS di laman Facebooknya pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan seorang penerima zakat dari Kajang yang menghantar surat memohon ditamatkan bantuan bulanan kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) mendapat pujian berikutan sikap amanah yang sukar ditemui ketika ini.

LZS menerusi perkongsian di Facebooknya memaklumkan, menerusi surat bertarikh 12 Ogos itu, penerima terbabit membuat permohonan dihentikan bayaran zakat ke atasnya kerana pendapatan hariannya dijangka mulai stabil.

Menurut agensi berkenaan, penerima terbabit sebelum ini mengajukan permohonan itu kepada LZS di cawangan agensi itu di Bandar Baru Bangi dan memaklumkan pendapatan bulanannya dijangka stabil pada September 2022.

"Ustaz, saya nak keluar asnaf. Insya-ALLAH, pendapatan saya dah semakin baik dan cukuplah zakat bantu saya sebelum ni, tentu ramai lagi yang memerlukan bantuan dari zakat. Terima kasih pembayar zakat.

"Dengan sepucuk surat dan panggilan telefon, kami berbual berkaitan hasratnya, untuk kepastian.

"Bila kita berada pada fasa endemik, langkah semakin jauh dan semakin gigih berusaha, maka hasilnya seperti yang sering kita dengar 'Man Jadda Wa Jada', setiap usaha pasti berjaya.

"Alhamdulillah. Semoga asnaf ini akan terus berjaya melalui saat getir ketika ini," kongsi LZS di laman Facebooknya pada Selasa.

Dalam pada itu, di ruangan komen hantaran tersebut ratusan netizen turut memuji penerima zakat terbabit kerana bersikap jujur dan mendoakannya mendapat rezeki yang berganda.

“Bukan mudah nak jumpa orang amanah sebegini. Moga dipermudahkan urusan hamba ALLAH ini dan diberi rezeki yang melimpah ruah,” komen Nurul Naz Aishah Ibrahim.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!