Gantung bahagian sekat cawangan bergiat aktif: Bung Moktar

Bung Moktar menerima cenderamata daripada Abd Rauf pada program Retreat UMNO Melaka di Kota Kinabalu.
Bung Moktar menerima cenderamata daripada Abd Rauf pada program Retreat UMNO Melaka di Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - UMNO Sabah tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan termasuk mengantung bahagian yang dilaporkan terbabit dalam kegiatan menyekat mana-mana cawangan daripada bergiat aktif terutama membabitkan golongan muda dan profesional yang menyertai UMNO.

Ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, terdapat beberapa kes di beberapa bahagian yang bertindak menyekat cawangan mengadakan mesyuarat perwakilan dan aktiviti kerana tidak seteru dengan kepimpinan bahagian.

"Perkara ini ada berlaku di beberapa bahagian disebabkan pemimpin cawangan tidak menyokong kepimpinan Ketua UMNO Bahagian, menyebabkan cawangan tersisih dan tidak dapat mengadakan mesyuarat cawangan serta disekat hanya kerana ingin memperkukuhkan kedudukan sebagai ketua bahagian.

"Alhmdulilah di Sabah, saya belum menerima laporan kes seperti ini, bagaimanapun sekiranya berlaku tindakan tegas akan dilakukan termasuklah mengantung bahagian berkenaan," katanya ketika berucap merasmikan program Retreat UMNO Melaka di sini pada malam Isnin.

Hadir sama, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Abd Rauf Yusoh dan Timbalan ketua UMNO Sabah, Datuk Yakub Khan.

Bung Moktar yang juga Ahli majlis tertinggi UMNO berkata, perbuatan menyekat cawangan yang tidak seteru ini bukanlah satu amalan demokarasi yang sihat dalam parti, sebaliknya boleh menjejaskan kekuatan parti.

Katanya, pemimpin UMNO perlu mengubah persepsi berkenaan dan memberi keutamaan untuk memperkukuhkan parti demi kepentingan negara.

Bung Moktar turut mengingatkan pemimpin UMNO supaya tidak menjadikan ancaman kedudukan dalam parti sebagai alasan bagi menyekat cawangan dan golongan muda, profesional menyertai parti kerana ia akan merugikan parti itu sendiri.

"Jika kepimpinan peringkat bahagian dan cawangan sentiasa bekerja keras menjalankan kerja-kerja parti, mereka tidak perlu gusar akan kehilangan jawatan kerana anggota akan terus menyokong mereka," katanya.

Berucap mengenai program yang dihadirinya, Retreat UMNO Melaka telah memilih Sabah sebagai lokasi program dan beliau berharap pemukiman itu akan dapat memberikan sumber inspirasi baharu kepada pemimpin UMNO Melaka dalam memperkukuhkan parti.

"Kita telah mengembalikan maruah UMNO dengan kemenangan besar semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, solidariti perjuangan ini perlu terus dipertingkatkan.

"Saya beharap pemilihan Sabah sebagai lokasi program ini akan memberikan idea baharu kepada pemimpin UMNO Melaka kerana UMNO Sabah mempunyai sejarah perjuangan yang berliku selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kerana ditinggalkan ramai pemimpin.

"Namun kerana masih ada pemimpin UMNO yang teguh dengan prinsip perjuangan, UMNO Sabah bangkit kembali selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis dan PRN ke-16 dan sehingga kini UMNO masih bertapak di Sabah walau ada pihak mendakwa akan terkubur selepas PRU14," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!