Keluarga cari ibu kandung anak angkat
KLUANG - Seorang lelaki dari Taman Melati, Paloh dekat sini mencari ibu kandung kepada anak angkatnya untuk memudahkan urusan proses dokumentasi di pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Keliwan Misran, 52, berkata, dia mahu menjadikan Badiah Afifah Abdullah, 12, sebagai anak angkat secara sah selain perlu berurusan untuk permohonan MyKad di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Menurutnya, Badiah Afifah diserahkan seorang lelaki yang hanya dikenali dengan nama Rahman di rumahnya pada 29 Jun 2010 sebaik selepas dilahirkan di sebuah hospital swasta di Kluang.
"Ibu kepada anak angkatnya itu dikenali dengan nama Norahah Rahman dan ketika itu wanita berkenaan baru berusia 17 tahun serta dipercayai tinggal di Felda Bukit Tongkat di sini.
"Usaha mengesan wanita itu sudah beberapa kali dilakukan, namun tidak berhasil," katanya ketika ditemui pada Selasa.
Keliwan berkata, diharap ibu atau saudara kandung kepada anak angkatnya itu dapat menghubungi pihaknya di talian 012-7779476.
Sementara itu, Badiah Afifah berharap dapat bertemu ibu kandungnya walaupun mendapat sepenuh kasih sayang daripada keluarga angkatnya.
"Hasrat untuk menemui dan memeluk erat ibu sudah lama tersimpan. Justeru itu, saya berharap dapat bertemu dengannya walaupun hanya sekejap," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!