Tubuh institusi kewangan Islam ASEAN
KUALA LUMPUR - Pemain industri harus mempertimbangkan usaha menubuhkan institusi kewangan Islam ASEAN bagi menyokong pengembangan sektor itu secara global, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Peranan institusi yang dicadangkan itu adalah untuk memudahkan kemasukan pelaburan asing bagi membiayai infrastruktur dan projek seumpamanya di rantau ini, titah baginda di majlis Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur 2022 (KLIFF) ke-17 di sini hari ini.
"Ini boleh membantu merangsangkan perdagangan dan meningkatkan pekerjaan, sesuatu yang sangat diperlukan memandangkan jumlah populasi besar di kebanyakan negara ASEAN.
"’Aktiviti ekonomi global terus berkembang. Kita telah melihat pertumbuhan berterusan dan pengembangan pasaran pengguna di rantau ini, pembentukan rangkaian perdagangan yang meluas serta pewujudan persekitaran yang semakin mesra perniagaan di rantau ini.
"Sektor kewangan Islam boleh mengambil bahagian serta menggalakkan pertumbuhan selanjutnya di seluruh ASEAN melalui peranannya dalam merangsang pelaburan dengan tumpuan kepada penciptaan nilai sosial," titah Sultan Nazrin.
Baginda seterusnya bertitah bahawa dimensi antarabangsa adalah ciri utama bagi kewangan Islam kerana sektor itu telah menjadi bahagian yang semakin penting dalam landskap kewangan global.
Industri yang masih terperap dalam pasaran domestik tidak mungkin boleh berkembang maju, terutamanya produk dan perkhidmatan kewangan, titah baginda.
"Pengembangan kewangan Islam ke dalam pasaran berbeza mencerminkan corak integrasi kewangan dan ekonomi global yang lebih luas. Ini termasuk pengukuhan berterusan hubungan kewangan dan ekonomi antara negara-negara Asia dan Timur Tengah.
"Kita juga melihat peningkatan jangkauan kewangan Islam melangkaui kedua-dua negara Islam tradisional dan pusat kewangan yang lebih mantap.
"Bagi penerbit, kewangan Islam semakin dilihat sebagai alternatif menarik untuk meningkatkan modal, manakala pelabur pula melihatnya sebagai kelas aset baharu untuk portfolio mereka,” titah baginda.
Baginda turut maklum pengembangan kewangan Islam global yang berterusan telah berlaku meskipun dalam persekitaran yang mencabar sejak sedekad lalu atau lebih, disebabkan oleh krisis kewangan global, dan baru-baru ini, pandemik yang melanda.
Ini menunjukkan daya tahan kewangan Islam sebagai sistem kewangan yang stabil, sesuatu yang harus memberi inspirasi kepada orang lain untuk terlibat dengan sektor itu, titah baginda.
Selain itu, baginda bertitah pengantarabangsaan kewangan Islam telah memperhebatkan pascapandemik yang mana peningkatan usaha kolektif diperlukan segera untuk memastikan sektor ini juga tertakluk kepada peraturan yang koheren dan berkualiti tinggi.
Struktur kawal selia ini mesti menjangkau semua sempadan, dengan aplikasi universal dan penguatkuasaan semua piawaian yang diperlukan kerana ini akan menyumbang kepada integrasi antarabangsa kewangan Islam yang lebih berjaya.
"Pada masa ini terdapat keperluan mendesak untuk menggerakkan kerjasama antarabangsa yang lebih besar untuk mengekalkan kestabilan kewangan global.
"Pandemik baru-baru ini telah menunjukkan bagaimana integrasi kewangan rentas sempadan mesti disertai dengan kerjasama dan penyelarasan antarabangsa. Ini perlu untuk mengelakkan arbitraj kawal selia rentas sempadan serta risiko kesan penularan,” titah Sultan Nazrin.
Sementara itu, Sultan Nazrin bertitah, Malaysia telah lama diiktiraf sebagai peneraju global dalam kewangan Islam dan kemajuannya berterusan walaupun dalam persekitaran kewangan dan ekonomi global yang mencabar.
Sultan Nazrin turut maklum walaupun menghadapi cabaran global akibat pandemik dan perang di Ukraine, pasaran modal Malaysia terbukti kekal berdaya tahan, termasuk pasaran modal Islam yang berkembang sebanyak 11 peratus pada 2020, meningkat daripada 8.0 peratus pada tahun sebelumnya.
Pada Jun 2022, pasaran modal Islam dianggar bernilai AS$500 bilion manakala sekuriti patuh Syariah kini menyumbang hampir 80 peratus daripada penyenaraian di Bursa Malaysia.
Selain itu, baginda bertitah elemen paling penting dalam industri kewangan Islam yang cergas dan berkembang akan terus mengekalkan asas Syariahnya.
"Seperti biasa, tradisi Islam akan terus menjadi pemacu kepada inovasi, bid’ah hasanah dan kreativiti dalam sektor ini, titah baginda. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!