SPR: 40,989 belia didaftarkan automatik pada Julai

SPR merekodkan seramai 40,989 warganegara berumur 18 tahun melalui Pewartaan Daftar Pemilih Tambahan bulan Julai 2022. - Foto hiasan
SPR merekodkan seramai 40,989 warganegara berumur 18 tahun melalui Pewartaan Daftar Pemilih Tambahan bulan Julai 2022. - Foto hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 40,989 warganegara berumur 18 tahun dan ke atas didaftarkan secara automatik ke dalam Daftar Pemilih Tambahan Bulan Julai 2022.

Setiausaha SPR, Datuk Indera Ikmalrudin Ishak berkata, jumlah tersebut diperakukan pada Isnin lalu dan diwartakan pada Selasa.

Menurutnya, semakan terhadap status pendaftaran berkenaan boleh dilakukan mulai 16 Ogos sehingga 14 September ini.

Katanya, daftar pemilih tersebut juga melibatkan seramai 13,481 pemilih berdaftar yang telah diperakukan dan disahkan menukar kawasan bagi undian pilihan raya.

“Seramai 13,481 orang pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 4,116 orang memilih bertukar status atau kategori pengundi,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Indera berkata, sekiranya terdapat individu daripada golongan di atas yang tidak tersenarai dalam daftar pemilih berkenaan, mereka boleh membuat tuntutan dengan mengisi Borang C melalui pautan mereka atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri.

Jelasnya, jika terdapat pemilih yang tidak berpuas hati terhadap pertukaran bahagian pilihan rayanya boleh mengemukakan bantahan berdasarkan Borang D.

“Borang C dan Borang D juga boleh dimuat turun dari portal Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri dan hendaklah dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri berkenaan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja sepanjang tempoh semakan daftar pemilih tersebut," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!