Rumah berusia lebih 100 tahun dihiasi Jalur Gemilang
MELAKA - Meskipun berusia lebih 100 tahun, namun sebuah rumah pusaka yang terletak di Kampung Pengkalan Batu di sini tidak ketinggalan dihiasi beratus Jalur Gemilang pelbagai saiz.
Lebih menarik pemilik kediaman itu, Rohimah Tumpang, 68, turut menggunakan beberapa barang kitar semula seperti botol plastik untuk menceriakan landskap rumah sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-65 pada tahun ini.
Rahimah berkata, apa yang dilakukan kerana minat untuk menghiasi rumah berusia 105 tahun dengan Jalur Gemilang dan salah satu cara menzahirkan semangat patriotisme kepada negara.
Menurutnya, saban tahun dia memperuntukkan kira-kira RM5,000 untuk menghiasi kawasan rumah termasuk mengecat dan melakukan kerja-kerja memperindahkan landskap halaman rumah sambil dibantu anak-anak.
"Bermula 2001 lagi bila menjelang Hari Kebangsaan makcik akan menghiasi rumah dengan Jalur Gemilang yang banyak.
"Memandangkan dua tahun tidak dapat hias rumah kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jadi tahun ini makcik begitu teruja dan gembira untuk mencantikkan rumah dengan bendera kerana masih berpeluang untuk melakukannya lagi," katanya ketika ditemui di kediamannya di sini pada Selasa.
Ibu kepada 14 orang anak berkata, biarpun keadaan rumah itu semakin usang dimakan anai-anai, namun itu bukan penghalang untuk menggantung dan mengibarkan Jalur Gemilang di laman rumah termasuk di tepi jalan.
Tambahnya, dia berharap ekspresi menghiasi Jalur Gemilang dapat dijadikan contoh kepada generasi muda untuk lebih menghargai kemerdekaan dengan penuh penghayatan.
Katanya, usaha yang dilakukan juga bertujuan menanamkan semangat patriotik dalam kalangan anak muda lebih-lebih rumahnya terletak di tepi jalan selain sering dikunjungi pelancong.
"Walaupun menggunakan wang sendiri, namun rasa berbaloi sebagai tanda cintakan negara," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!