Kerajaan Perak pandang serius isu pengkid tunai umrah
IPOH - Kerajaan negeri Perak memandang serius perbuatan individu wanita memakai ihram menunaikan umrah di Makkah seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sebarang ibadah yang dilakukan di Tanah Suci perlu difahami dari segi peraturan dan rukun sebelum menunaikannya.
Menurutnya, sama ada lelaki atau wanita perlu melaksanakan ibadah mengikut syarak yang ditetapkan.
"Sudah tentu sebagai orang Islam kita memandang serius. Kita menasihatkan diri kita sendiri dan orang ramai sesiapa yang nak melakukan ibadah sama ada haji atau pun umrah ke tanah suci mesti memahaminya.
"Perlu ikut syarak, itu syarat mendapat haji atau umrah yang mabrur. Itu paling penting atau perkara asas yang perlu diketahui," katanya kepada pemberita selepas Program Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak di Stadium Indera Mulia, di sini pada Selasa.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai tindakan seorang wanita yang berpakaian lelaki menunaikan umrah baru-baru ini sehingga videonya tular di media sosial.
Pada Isnin, Persatuan Pengendali Umrah, Haji dan Ziarah Perak (Puhaz) menegaskan tiada ahli mereka yang terlibat mengendalikan jemaah umrah wanita berpakaian lelaki ke Tanah Suci seperti yang tular baru-baru ini.
Dalam perkembangan lain mengenai program Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak, Saarani berkata, sehingga 4 Jun 2022, sebanyak 394 daripada 573 aduan yang diterima telah selesai dan diambil tindakan lanjut.
Menurutnya, aduan paling banyak diterima membabitkan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Pejabat Tanah dan Galian serta Pejabat Daerah dan Tanah Kinta.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!