'Belum habis skandal LCS, kali ini SPH pula'
SHAH ALAM - Selepas skandal kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menjadi bualan ramai, kini timbul pula dakwaan membabitkan Meriam Self Propelled Howitzer (SPH) yang dikaitkan dengan Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Kementerian Kewangan (MOF).
Mendedahkan perkara itu, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, MOF telah meluluskan perolehan SPH dan infrastruktur dilakukan secara rundingan terus dengan syarikat MA Analytics Sdn Bhd yang sepatutnya dilaksanakan secara tender terhad.
“Belum habis lagi dengan skandal Kapal LCS, kali ini skandal SPH pula. Kalau tengok surat ini, patutnya bagi tender ini secara terhad. Tiba-tiba boleh jadi runding terus. Pelik bin ajaib.
“Kali ini MINDEF tak bagi (rundingan terus) tapi MOF senang-senang bagi rundingan terus. Macam sama dengan skandal LCS ini. Saya gesa MOF jawab isu yang timbul ini,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya pada Selasa.
Menerusi catatan tersebut, Syed Saddiq turut memuat naik dua keratan surat yang dipercayai permohonan membabitkan kelulusan khas kepada MINDEF dan surat permohonan menyegerakan keputusan cadangan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Kenapa yang sepatutnya diberi tender terhad, sekarang jadi runding terus? Atas kapasiti apa MA Analytics diberikan tender ini?
“Berapa kali kita nak gadaikan keselamatan dan kedaulatan negara kita? Balik-balik duit rakyat juga kena jarah. Berapa banyak? RM854 juta, yang kaya mereka, rakyat merana. MOF kena jawab. Rakyat berhak untuk tahu,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!