Pemandu Grab dipukul bapa mentua
JOHOR BAHRU - Seorang pemandu Grab cedera dibahagian kepala selepas mendakwa dipukul berkali-kali oleh bapa mentuanya dengan kayu tongkat, Selasa lalu.
Menurut mangsa yang enggan dikenali ini, kejadian berlaku apabila dia berkunjung ke rumah mentuanya di Felda Sungai Sibol, Kulai untuk bertemu dengan anak bongsunya berusia tiga tahun.
Katanya, setibanya di rumah tersebut, bapa mentuanya yang berusia lingkungan 60an tiba-tiba berang lalu memukulnya beberapa kali di bahagian kepala untuk menghalaunya keluar.
"Masa itu dalam jam 10.30 pagi, saya datang ke rumah mentua saya untuk bertemu anak selepas suami saya tidak membawanya pulang ke rumah saya di Larkin selama dua minggu.
"Setibanya saya di sana, pintu rumah mentua saya memang tidak buka. Tiba-tiba ayah mentua saya keluar dan terus memukul kepala saya berkali-kali hingga berdarah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini, hari ini.
Mangsa berkata, sejurus daripada kejadian itu, dia terus melarikan diri menaiki kereta bersama anak sulungnya berusia 13 tahun untuk mendapatkan rawatan sebelum membuat laporan di Balai Polis Larkin.
"Semasa dipukul itu, saya sempat masuk ke rumah untuk mengambil anak saya, tetapi dirampas kembali bapa mentua saya. Sebab kepala saya dah berdarah, saya terus melarikan diri untuk mendapatkan rawatan.
"Saya mula-mula buat laporan di Balai Polis Larkin, dan semalam polis telah menghubungi saya dan meminta untuk datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi untuk memberi keterangan," katanya.
Mengulas mengenai punca utama kejadian itu, mangsa memberitahu ia mungkin berkemungkinan akibat hubungannya yang sedang berada di ambang penceraian dengan suaminya.
"Saya dan suami pernah bercerai pada tahun 2016, dan kemudian rujuk semula. Tetapi dalam tempoh itu keluarga suami tidak tahu kami dah rujuk. Kami juga duduk berasingan yang mana dia memang duduk di sana.
"Tetapi baru ini sudah dua minggu dia tidak bawa balik anak bongsu saya, disebabkan rindu saya ke sana, akhirnya ini yang saya dapat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!