JHEAIPP sahkan kedai nasi ayam di Sungai Ara tiada sijil halal
GEORGETOWN - Kedai menjual nasi ayam dan itik di Sungai Ara yang kini menjadi kontroversi disahkan tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).
Pemangku Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAIPP), Mohd Hanif Omar@Wahab berkata, siasatan mendapati pemilik kedai tersebut yang juga seorang Muslim turut mempunyai restoran nasi ayam dan itik di sebuah kompleks beli-belah di sini.
Bagaimanapun katanya, untuk premis di kompleks beli-belah, ia milik bersama antara lelaki Muslim tersebut bersama seorang pemilik bukan Islam.
Menurutnya, pemeriksaan pada premis di pusat beli-belah itu juga didapati tidak mempunyai SPHM.
"Siasatan dijalankan pada hari ini (Selasa) bermula jam 10.45 pagi hingga 3 petang di dua lokasi iaitu sebuah medan selera di kompleks beli-belah dan sebuah kedai nasi ayam dan itik di Paya Terubong.
"Ia melibatkan JHEAINPP dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang," katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Tambah beliau, hasil siasatan mendapati nasi ayam dan itik yang dimasak di premis di kompleks beli-belah tersebut turut dibawa untuk dijual di kedai di Sungai Ara.
"Siasatan oleh JHEAIPP mendapati, kedai nasi ayam dan itik di Sungai Ara tidak dibuka. Selain kedai itu, kita turut menjalankan siasatan di sebuah restoran menjual nasi ayam dan itik di Paya Terubong.
"Premis itu menyediakan makanan nasi ayam, itik dan juga daging khinzir," katanya.
Jelasnya lagi, pemilik kedai tersebut mengaku hanya menghantar makanan yang tidak habis dijual ke restoran di Paya Terubong untuk diberi kepada anjing selain membasuh bekas-bekas dan peralatan makanan di situ.
"Kita menasihati pemilik kedai tersebut memohon SPHM daripada JHEAIPP," katanya.
Sebelum ini, tinjauan Sinar Harian mendapati, dua lelaki dipercayai pemilik premis menjual nasi ayam dan itik di sebuah kompleks beli-belah di sini diambil keterangan oleh sekumpulan penguat kuasa yang terdiri daripada KPDNHEP Pulau Pinang dan JHEAIPP.
Sesi soal siasat itu dilakukan di hadapan sebuah premis di kompleks membeli-belah di sini pada tengah hari Selasa.
Salah seorang penguat kuasa ketika ditemui di lokasi berkata, mereka hanya datang untuk mengambil keterangan bagi menjalankan siasatan selanjutnya.
Katanya, hasil keterangan awal, mereka mendakwa nasi ayam dan nasi itik tersebut dimasak di premis makanan di sebuah kompleks membeli-belah di sini sebelum dibawa ke kedai di Sungai Ara.
Sebelum ini, tular klip video berdurasi 2 minit 38 saat berhubung dua lelaki Melayu dilihat memasuki sebuah restoran bukan Islam di Paya Terubong dipercayai untuk mengambil masakan nasi ayam dan menjualnya di gerai milik orang Melayu di Sungai Ara.
Perkara itu telah mencetuskan ketidakpuasan hati dalam kalangan orang Muslim terutamanya pelanggan yang pernah membeli juadah nasi ayam di kedai terbabit.
Difahamkan, setelah tular video tersebut, pemilik gerai telah menutup perniagaan mereka selepas dinasihati penduduk berdekatan.
Lebih mengecewakan, kedai itu tular dan mendapat perhatian ramai setelah ia mendapat liputan daripada seorang pempengaruh media sosial.
Bagaimanapun, pempengaruh tersebut telah tampil menjelaskan perkara sebenar yang mana dia tidak mengetahui mengenai tuduhan tersebut dan hanya menjalankan tugas setelah dibayar untuk membuat ulasan.
Bimbang tuduhan tersebut akan mengeruhkan lagi keadaan, pempengaruh tersebut telah memadam video berkenaan.
Susulan daripada itu, tular sebuah lagi video dipercayai daripada pemilik kedai yang menafikan tuduhan tersebut.
Pemilik kedai terbabit menjelaskan bahawa mereka memasak makanan itu sendiri di sebuah premis di kompleks membeli-belah sebelum membawanya untuk dijual di premisnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!