Buang budaya duit kopi
KUALA LUMPUR – Budaya pemberian duit kopi harus dihentikan bagi mengelakkan ia menjadi punca rasuah yang lebih besar.
Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Segambut, Mahathir Md Rais berkata, amalan memberi duit kopi merupakan faktor bermulanya amalan rasuah.
Menurutnya, baik di sektor awam mahupun swasta, perkara yang satu masa dahulu dianggap kecil namun akhirnya menjadi budaya dan ikutan yang sukar dibuang.
“Duit kopi ini sebenarnya permulaan untuk mendekati rasuah paling besar, oleh kerana nama pun duit kopi jadi tidak ada siapa yang ambil pusing isu berkenaan,” kata beliau.
Jelas Mahathir, duit kopi datang daripada pelbagai sumber, sebagai contoh mereka yang bekerja di sektor yang terlibat meluluskan tender projek amat terdedah dengan budaya duit kopi.
“Bayangkan baru bekerja dah mula minta macam-macam. Itu belum lagi projek diluluskan, lain pula tuntutannya nanti meskipun syarikat atau individu yang terpilih memang berhak mendapat projek berdasarkan rekod baiknya sebelum ini,” jelasnya.
Mahathir berkata, kes penyalahgunaan kuasa termasuk tangkapan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga sebenarnya banyak bermula daripada duit kopi.
“Integriti mereka yang terlibat perlulah dijaga kerana bila kita bersetuju menerima imbuhan maka kita bersetuju untuk bersekongkol dengan penjenayah kolar putih,” tegasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!